Istana Negeri Sembilan belum sahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail Lasim

Kenyataan media Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan berhubung peletakan jawatan Ismail Lasim.
Kenyataan media Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan berhubung peletakan jawatan Ismail Lasim.
A
A
A

SEREMBAN - Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, yang dikatakan telah ditandatangani beliau.

Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan media memaklumkan, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

Menurutnya, surat peletakan jawatan berkenaan dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada jam 12.16 tengah malam, 17 November.

Jelasnya, surat berkenaan diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

"Adalah dimaklumkan bahawa Setiausaha Sulit telah menyampaikan perkenan kepada Ismail untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 8.38 malam, 16 November, sebagaimana yang dipohon oleh beliau.

"Sesi menghadap berkenaan ditetapkan pada jam 10 pagi, Jumaat, 20 November 2026,"katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan perkenan menghadap itu diberikan lebih awal 80 minit sebelum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dimuat naik di akaun Facebook beliau pada jam 10 malam, 16 November, yang memaklumkan mengenai peletakan jawatan Ismail.

Kenyataan itu turut memaklumkan pihak istana mengambil maklum mengenai kenyataan Zambry berhubung peletakan jawatan Ismail yang dilihat berdasarkan salinan surat peletakan jawatan dalam milikannya.

Bagaimanapun, pihak istana menegaskan ketulenan surat yang menurut Zambry ditandatangani Ismail masih belum disahkan.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!