Pelajar serang guru di sekolah berdepan tiga pertuduhan

KUCHING - Pelajar lelaki yang dipercayai menyerang seorang guru menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di sini pada bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching pada Isnin atas tiga pertuduhan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, pertuduhan terhadap remaja itu membabitkan kesalahan membawa senjata berbahaya, menyebabkan kecederaan dan memiliki bahan letupan.
"Pelajar berusia 16 tahun itu berdepan tiga pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Dia hadir bersama ibu bapanya dan diwakili peguam. Tiada pengakuan direkodkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, mahkamah turut membenarkan permohonan supaya remaja berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Sentosa, Kuching, mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
"Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes," katanya.
Dalam pada itu, Saifullizan berkata, Polis Kontinjen Sarawak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
