Sajak ‘Patik Tak Rela’: Hassan Karim hadir rakam keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hadir ke Bukit Aman di sini pada Isnin bagi memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung sajak karyanya bertajuk 'Patik Tak Rela'.
Hassan tiba di Bukit Aman kira-kira jam 2.50 petang.
Terdahulu Hassan dilaporkan berkata beliau dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 3 petang.

Hassan memaklumkan akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Ahad, Hassan meluahkan rasa kecewa berhubung isu Datuk Seri Najib Razak menerusi sajak yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Menerusi sajak itu, Hassan yang juga seorang peguam mempersoalkan sama ada tindakannya menyuarakan bantahan terhadap perkara yang dianggapnya sebagai ketidakadilan boleh disifatkan sebagai derhaka.
Beliau turut menyentuh prinsip keadilan yang perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau darjat seseorang, selain menyifatkan sikap berdiam diri terhadap ketidakadilan sebagai satu bentuk persubahatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

