Gangguan sistem penerbangan AS, 12,000 penerbangan terjejas

WASHINGTON – Kira-kira 12,000 penerbangan tidak dapat diteruskan selepas gangguan besar melanda sistem komunikasi kawalan trafik udara Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang seluruh negara.
Gangguan pada Jumaat itu memaksa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan menghentikan sementara pelepasan penerbangan di seluruh negara selama lebih empat jam atas faktor keselamatan.
Ketua FAA, Bryan Bedford berkata, kira-kira 12,000 penerbangan tidak dapat diselesaikan pada hari kejadian, termasuk sekitar 9,000 penerbangan komersial dan 3,000 penerbangan persendirian.
Jumlah itu dijangka meningkat selepas pihak berkuasa menganggarkan antara 4,000 hingga 5,000 lagi penerbangan daripada kira-kira 41,000 penerbangan yang dijadualkan pada Sabtu turut berdepan pembatalan.
Gangguan berkenaan menyebabkan ribuan penumpang terkandas, manakala beberapa pesawat yang sudah bersedia untuk berlepas terpaksa kembali ke terminal atau menunggu arahan baharu.
FAA menarik balik arahan henti operasi seluruh negara pada jam 8.15 malam waktu tempatan Jumaat selepas memastikan sistem kembali stabil.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa operasi penerbangan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya berikutan kedudukan pesawat dan kru penerbangan yang terganggu.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, gangguan berpunca daripada masalah pada infrastruktur komunikasi dan peralatan kawalan trafik udara yang sudah berusia.
Siasatan awal mendapati masalah berlaku ketika kerja penyelenggaraan dan naik taraf sistem komunikasi melibatkan penggantian kabel tembaga lama kepada kabel gentian optik.
Proses berkenaan dipercayai menyebabkan penghala rangkaian (router) mengalami beban berlebihan sehingga mengganggu penghantaran data radar dan komunikasi antara pengawal trafik udara dengan juruterbang.
Keadaan itu menjejaskan keupayaan pihak berkuasa memantau pergerakan pesawat serta memastikan jarak keselamatan antara pesawat di ruang udara.
Duffy berkata, sistem kawalan trafik udara AS memerlukan pembaharuan menyeluruh dan menggesa Kongres meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak AS$50 bilion (kira-kira RM210 bilion) bagi memodenkan infrastruktur berkenaan.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai amaran bahawa sistem sedia ada semakin terdedah kepada kegagalan sekiranya tidak dinaik taraf segera.
Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin berkata, setakat ini pihak berkuasa tidak menemui bukti yang menunjukkan gangguan berkenaan berpunca daripada serangan siber atau campur tangan pihak asing.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada kegagalan itu berpunca daripada kesilapan manusia, peralatan rosak atau masalah teknikal ketika proses naik taraf.
Pihak berkuasa turut mengesahkan sistem ramalan trafik udara berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang baharu diperkenalkan bukan penyebab kejadian tersebut.
Gangguan itu turut mencetuskan kekacauan di beberapa lapangan terbang utama termasuk Chicago O'Hare, Atlanta, Dallas-Fort Worth, New York dan Los Angeles.
Sebahagian penumpang dilaporkan terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan penerbangan gantian, manakala ada yang terpaksa bermalam di lapangan terbang selepas jadual perjalanan dibatalkan.
Syarikat penerbangan menawarkan penjadualan semula atau bayaran balik kepada penumpang yang terjejas, tertakluk kepada syarat masing-masing.
Ketua FAA turut memohon maaf kepada penumpang dan menjangkakan operasi penerbangan kembali hampir normal menjelang lewat Ahad.
Insiden itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kebergantungan industri penerbangan global terhadap sistem komunikasi dan teknologi yang semakin kompleks, selain keperluan memastikan infrastruktur kritikal sentiasa berada pada tahap optimum bagi mengelakkan gangguan berskala besar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
