Didenda RM1,000 naik satu kereta pergi pasar raya

Seramai 51 penduduk termasuk 14 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan ingkar PKP, hari ini.
Seramai 51 penduduk termasuk 14 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan ingkar PKP, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri bersama seorang jiran mereka didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung pertuduhan ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menaiki sebuah kereta secara beramai-ramai.

Muhammad Hanafi Abdullah, 27, bersama isterinya, Syrifah Saadiah Syd Taha, 26 dan jiran mereka, Salmah Khalid, 45, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka didapati berkongsi kereta untuk keluar membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya dan didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Batu 5, Lebuh Raya Besraya, di sini pada jam 10.10 pagi, 16 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Majistret M Saravanan menasihati mereka supaya mematuhi saranan kerajaan untuk memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) ketika ini.

“Lebih baik buat senarai barang dan wakilkan seorang sahaja untuk membeli barang,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan menyesal atas perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mereka merupakan antara 51 tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan melanggar PKP, hari ini.

Seramai 51 penduduk termasuk 14 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan ingkar PKP, hari ini.
Seramai 51 penduduk termasuk 14 warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan ingkar PKP, hari ini.

Kesemua tertuduh termasuk 10 wanita dan 14 warga Bangladesh, Myanmar serta Indonesia, didenda RM800 hingga RM 1,000 seorang, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mereka yang berusia dari 21 hingga 46 tahun itu, didakwa ingkar PKP di Cheras, Brickfield, Setapak dan Pantai Dalam antara 16 hingga 23 April lalu.

Mereka didapati bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain yang diwartakan dengan tujuan bukan dalam mana-mana perkara yang diperuntukkan.

Tertuduh didakwa mengikut peraturan 3(1), 6 (1) atau 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon agar tertuduh menerima hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, semua tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan kerana tidak mampu untuk membayar denda.