[VIDEO] Prestasi baik atau jasa seseorang pegawai tidak boleh dijadikan alasan mengetepikan siasatan – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak sepatutnya dianggap sebagai kontroversi politik kerana sebarang dakwaan salah laku perlu melalui proses undang-undang.
Beliau berkata, prestasi baik atau jasa seseorang pegawai tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan siasatan sekiranya terdapat laporan mengenai tindakan yang didakwa melanggar peraturan atau undang-undang.
"Kita kena ingat betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan atau tuduhan seorang itu didera, ia mesti ikut proses.
"Kerja mesti profesional, tapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses. Kalau tanya saya dari segi peribadi, saya ada (rasa) simpati tetapi bila kalau ada dakwaan sama ada ia daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai keputusan memindahkan Mohd Shuhaily kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun beliau dianggap mempunyai prestasi cemerlang sepanjang menerajui AKPS.
Shahidan turut membangkitkan isu laporan polis berhubung satu rakaman video keselamatan serta meminta kerajaan mempertimbangkan supaya Mohd Shuhaily dikekalkan menerajui agensi berkenaan.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, pada 28 September di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sendiri sebelum ini memainkan peranan dalam memulihkan kedudukan Mohd Shuhaily serta mengangkat beliau berdasarkan prestasi perkhidmatannya.
"Memang benar AKPS itu baru ditubuhkan semasa Menteri Dalam Negeri yang ada sekarang dan mengangkat nama yang disebutkan (Mohd) Shuhaily, itu adalah cadangan kita.
"Kita yang ‘pulihkan’ dia kerana prestasi dia. Itu biarkan rekod dia betul. Saya ingat lagi saya bawa beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, kemudian diangkat," ujarnya.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan bahawa tindakan terhadap Mohd Shuhaily dibuat berdasarkan laporan polis dan perkara berkenaan perlu disiasat mengikut proses yang ditetapkan.
Katanya, sebarang keputusan mengenai pendakwaan pula terletak pada pihak berkuasa berkaitan dan tidak wajar dicampuri oleh Perdana Menteri mahupun Menteri Dalam Negeri.
"Janganlah minta saya atau Menteri Dalam Negeri campur sampai ke situ. Cuma sekarang ini kalau didapati oleh pihak pendakwa, Peguam Negara (11:16) bahawa ada kes untuk didakwa. Bila didakwa, proses ikut peraturan negara itu harus ada.
“Orang yang didakwa kalau penjawat awam, itu terus dipindahkan atau dilepaskan jawatan, adalah proses-prosesnya yang Menteri Dalam Negeri lebih maklum.
“Tapi janganlah pula kita dianggap ini sebagai satu isu kontroversi politik. Tak ada. Kalau tanya saya, saya kenal dan saya simpati dan saya tahu prestasi," ujarnya.
Anwar turut menegaskan bahawa laporan polis daripada mana-mana pihak mesti disiasat, manakala keputusan untuk mendakwa seseorang merupakan bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
Kata beliau, tindakan berdasarkan dakwaan pelanggaran peraturan tidak bermakna segala sumbangan dan kebaikan seseorang pegawai sebelum itu dipadamkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


