Wanita maut digilis lori

Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan lori
Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan lori
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan lori berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Jaya Gading.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan digilis lori. 

"Lori dipandu lelaki berusia 45 tahun yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu terlanggar mangsa.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Ashari berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

Sementara itu katanya, hasil ujian air kencing dilakukan ke atas pemandu lori mendapati lelaki itu negatif dadah.

"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!