MB Negeri Sembilan sahkan tarik balik surat makluman pelucutan takhta Tuanku Muhriz

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan surat tular berhubung keputusan beliau bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah dibatalkan pelantikannya untuk menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkenaan pelucutan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berharap, keputusan itu dapat membantu menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di negeri berkenaan.
"Saya sahkan surat itu. 'The letter is self-explanatory'.
"Surat itu, saya yakin salah satu (usaha) untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Deepavali 2026 peringkat Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, tular surat bertarikh 10 November berkenaan Ismail dan 10 Exco yang dibatalkan pelantikannya menarik balik kandungan surat persembahan maklum kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September 2026.
Dalam surat terbabit, Ismail memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang mengekalkan status quo kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Keputusan berkenaan dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur.
Sementara itu, mengulas mengenai tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan, beliau berkata, masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ujarnya, tarikh 26 November dan diikuti pembentangan belanjawan pada 27 November yang dimaklumkan sebelum ini hanyalah tarikh yang dicadangkan oleh kerajaan negeri.
"Kalau Tuanku perkenan, kita akan teruskanlah. Ia tertakluk kepada perkenan Tuanku kerana sebenarnya dari segi Undang-Undang Tubuh kita, bukanlah tamat pada 27 November itu.
"Hanya belanjawan yang perlu kita selesaikan sebelum akhir tahun. Tapi tarikh itu yang kita cadangkan," katanya.
Ismail turut menjelaskan bahawa beliau telah pun memohon untuk menghadap Tuanku bagi mendapat perkenan baginda berhubung tarikh tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan Exco kerajaan negeri yang telah dibatalkan pelantikannya termasuk kemungkinan pelantikan Exco baharu masih belum dibincangkan setakat ini.
"Kedudukan Exco tak ada dibincangkan lagi setakat ini, sebabnya saya belum dapat menghadap Tuanku.
"Kalau dapat menghadap kita akan terima pandangan Tuanku. Jadi saya belum dapat komen apa-apa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

