MCA gesa SPRM siasat pemberian bantuan disedia kerajaan

Koi Voon (empat dari kiri) dan pemimpin MCA lain hadir ke SPRM membuat laporan.
Koi Voon (empat dari kiri) dan pemimpin MCA lain hadir ke SPRM membuat laporan.
A
A
A

SEREMBAN - MCA Negeri Sembilan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan berhubung peruntukan bantuan lebih RM3 juta disediakan kerajaan negeri terhadap individu terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon berkata, timbul persoalan apabila ada perbezaan nilai bantuan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya difahamkan di DUN Mambau penerima menerima RM80 tetapi di DUN Lobak mendapat RM90 manakala ada DUN lain hanya RM30 saja.

"Kenapa perlu ada perbezaan begini? Ada penduduk kecewa kenapa mereka dilayani berbeza dengan pengundi di kawasan lain dan bagi saya isu ini perlu disiasat," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di SPRM di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menyediakan garis panduan yang jelas mengenainya terutama membabitkan bantuan kepada masyarakat.

Koi Voon berkata, ramai individu yang perlu dibantu kerana kehidupan mereka terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan dan bantuan perlu dilaksanakan secara telus dan adil tanpa mengira parti politik," katanya.

Beliau berkata, memandangkan tempoh PKP dilanjutkan, MCA bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pernah berkata, kerajaan negeri tidak menetapkan nilai barangan yang perlu diberi kepada setiap penerima, tetapi tidak melebihi RM100 seorang.

"Ikut kebijaksanaan setiap ADUN atau penyelaras untuk tetapkan berapa nilai barangan yang mahu diberi kerana ada kawasan yang permohonan bantuannya terlalu ramai," katanya.