SPRM kemuka lima syor tambah baik tatakelola CIDB Terengganu

Mohd Nor Adha (empat dari kiri) bersama Pengarah CIDB Terengganu, Mohamad Norsani Katap (lima dari kanan) memegang Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Bilik Mesyuarat Utama SPRM Terengganu pada Khamis. - FOTO: SPRM
Mohd Nor Adha (empat dari kiri) bersama Pengarah CIDB Terengganu, Mohamad Norsani Katap (lima dari kanan) memegang Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Bilik Mesyuarat Utama SPRM Terengganu pada Khamis. - FOTO: SPRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Lima syor penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lima syor berkenaan meliputi keperluan mewujudkan borang akuan bersumpah di Pesuruhjaya Sumpah yang perlu mengandungi frasa tertentu termasuk peringatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 sekiranya mengemukakan dokumen palsu, serta mengeluarkan arahan kawalan dalaman bagi melarang kakitangan mengurus atau membuat bayaran permohonan bagi pihak pemohon dalam urusan permohonan Program Kompetensi Kemahiran (PKK).

Syor ketiga ialah CIDB perlu melaksanakan proses verifikasi terhadap dokumen yang dimuat naik dalam Sistem Pengurusan Industri Pembinaan (CIMS) dan yang keempat pula ialah memastikan penyebaran maklumat mengenai kadar yuran permohonan PKK hendaklah dibuat secara terus kepada CIDB tanpa melibatkan pihak ketiga.

Syor akhir ialah perlu mewujudkan mekanisme terhadap pengasingan fungsi dan peranan penilai.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Nor Adha Ab Gani berkata, cadangan penambahbaikan tatakelola yang dibentangkan itu merupakan hasil dapatan isu yang dikenal pasti melalui siasatan yang dijalankan pada tahun ini.

Beliau menegaskan pelaksanaan langkah penambahbaikan berkenaan amat penting dalam memastikan amalan tadbir urus yang lebih telus, bertanggungjawab dan seragam bagi menutup ruang serta peluang berlakunya amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kesemua syor penambahbaikan tatakelola berkenaan dibentangkan di Bilik Mesyuarat Utama SPRM Terengganu di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!