SPRM syor LAUT perkukuh tatakelola pelantikan pegawai

Hazrul Shazreen (tiga dari kiri) menerima Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani Safura di Pejabat SPRM Terengganu, di Kuala Terengganu pada Rabu.
Hazrul Shazreen (tiga dari kiri) menerima Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani Safura di Pejabat SPRM Terengganu, di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengemukakan empat syor penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) membabitkan pengurusan pengambilan, pelantikan dan pengesahan jawatan pegawai lantikan tidak berpencen.

​Syor berkenaan dibentangkan Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid kepada Pengarah LAUT, Safura Mad Juhari di Pejabat SPRM Terengganu, di sini pada Rabu.

​Hazrul Shazreen berkata, cadangan penambahbaikan tersebut dibuat berdasarkan hasil dapatan isu yang dikenal pasti menerusi siasatan yang dijalankan pihak SPRM pada 2024.

​"Antara syor utama yang dikemukakan termasuk keperluan mengemaskini tatacara pengambilan, pelantikan dan pengesahan jawatan pegawai lantikan tidak berpencen yang didapati tidak selari dengan kuasa diperuntukkan di bawah Enakmen Sumber Air Terengganu (ESAT).

​"Selain itu, Cawangan Penyiasatan Tatakelola (CPT) SPRM Terengganu turut mencadangkan penyediaan tatacara kerja berkenaan pelantikan panel ujian bertulis, penyediaan carta alir serta penyediaan proses kerja berkaitan pelaksanaan ujian bertulis," katanya.

​Sementara itu, Safura menyambut baik serta amat mengalu-alukan cadangan penambahbaikan tatakelola yang dikemukakan oleh SPRM Terengganu.

​Beliau memberi komitmen penuh untuk melaksanakan langkah penambahbaikan tersebut demi memastikan amalan tadbir urus yang lebih telus, bertanggungjawab dan seragam.

​Jelasnya, langkah itu penting bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya amalan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

​Pada sesi pembentangan tersebut, Safura turut menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola dengan disaksikan oleh Hazrul Shazreen.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!