Permohonan deklarasi Undang Jelebu tidak dipertikai untuk kuat kuasa nasihat DKU, warta kerajaan negeri - Peguam

Permohonan deklarasi dibuat oleh Undang Luak Jelebu yang tidak dipertikaikan bertujuan menguatkuasakan keputusan dan nasihat DKU dan Warta Kerajaan Negeri berhubung perkara itu.
Permohonan deklarasi dibuat oleh Undang Luak Jelebu yang tidak dipertikaikan bertujuan menguatkuasakan keputusan dan nasihat DKU dan Warta Kerajaan Negeri berhubung perkara itu.
A
A
A

SEREMBAN - Permohonan deklarasi yang dibuat oleh Undang Luak Jelebu yang tidak dipertikaikan iaitu Datuk Azrin Khairi di Mahkamah Tinggi di sini bukan bertujuan meminta mahkamah menentukan Undang yang sah, sebaliknya bagi menguatkuasakan keputusan dan nasihat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Warta Kerajaan Negeri berhubung perkara itu.

Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, terdapat kekeliruan pemahaman awam berhubung tujuan sebenar permohonan yang difailkan pihaknya pada Jumaat.

"Permohonan ke mahkamah bukan untuk meminta mahkamah menentukan siapa Undang yang sah kerana perkara itu telah ditetapkan mengikut DKU dan disiarkan melalui warta.

"Sebaliknya, ia bertujuan menguatkuasakan keputusan serta nasihat DKU dan warta yang telah diterbitkan berhubung gelaran, kedudukan dan hak yang termaktub menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Jelas beliau, soal keabsahan jawatan dan penyandang Undang Luak Jelebu bukanlah suatu isu yang tergantung atau belum diputuskan.

Ini kerana katanya, pemberhentian Datuk Maarof Mat Rashad daripada jawatan dan gelaran Undang Luak Jelebu ke-16 telah berkuat kuasa pada 31 Mei 2023 mengikut keputusan kebulatan muafakat adat dan nasihat DKU pada 31 Julai lalu.

"Keputusan pemberhentian ini telah dimuktamadkan dan diisytiharkan secara rasmi melalui Warta Kerajaan Negeri bertarikh 23 Oktober 2026 di bawah titah perintah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"Penzahiran dan pengiktirafan Datuk Azrin sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 pula telah dilantik oleh anak waris dan dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Oktober 2026 serta diperakukan secara rasmi oleh DKU pada 4 November lalu," katanya.

Menurutnya, ia juga telah diisytiharkan melalui Warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 11 November 2026 sebagai satu-satunya Undang Luak Jelebu ke-17 yang sah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mahkamah tidak diminta menentukan persoalan adat di bawah Fasal 16(3) UUTKNS 1959, kerana segala nasihat DKU berhubung pemilihan, perlucutan, atau pengosongan jawatan Undang Yang Empat adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah di atas sebarang alasan.

"Prinsip ini turut diperkukuh di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Muhammad Hariz berkata, tujuan sebenar tindakan mahkamah adalah penguatkuasaan hak undang-undang sebagaimana yang termaktub dengan jelas dalam 'prayers' (tuntutan relief) saman pemula.

Ujarnya, tindakan itu diambil semata-mata bagi menguatkuasakan nasihat muktamad DKU dan pewartaan kerajaan negeri di sisi undang-undang, selain menghalang Datuk Maarof daripada terus mengingkari nasihat DKU dan warta kerajaan negeri.

"Ia juga bagi menghentikan sebarang cubaan menganjurkan atau menghadiri majlis menggunakan gelaran Dato' Undang Jelebu yang berisiko mencetuskan perpecahan masyarakat dan ancaman ketenteraman awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!