Krisis peletakan jawatan Anthony uji kestabilan Kerajaan Perpaduan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KEPUTUSAN Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, menguji kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Keputusan Setiausaha Agung DAP itu mencetuskan pelbagai tafsiran, terutama membabitkan pendirian politik, prinsip integriti dan kelangsungan pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, kepimpinan tertinggi kerajaan dilaporkan mengambil pendekatan berhati-hati dengan berpendirian keputusan sebesar itu tidak wajar dimuktamadkan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya, ruang penelitian dan rundingan dari hati ke hati perlu diberikan walaupun surat rasmi peletakan jawatan sudah diserahkan.

Pendekatan itu turut mengambil kira rekod perkhidmatan Ahli Parlimen Seremban berkenaan yang digambarkan sebagai amat cemerlang, selain memiliki sifat amanah, bersih dan dedikasi tinggi dalam merangka pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat, termasuk golongan pemandu teksi.

Penerimaan baik warga kerja kementerian terhadap kepimpinannya juga memperlihatkan kehilangan figura berprestasi tinggi itu sebagai satu kerugian besar kepada jentera kerajaan yang masih memerlukan khidmat baktinya.

Malah, cadangan berseloroh supaya menteri terbabit mengambil cuti sementara waktu berbanding berundur sepenuhnya menggambarkan keinginan pucuk pimpinan untuk mengekalkan khidmatnya dalam Kabinet.

Namun, di sebalik penghargaan dan pujukan itu, Anthony memilih untuk berpegang teguh kepada pendirian yang ditetapkan lebih awal.

Keputusan untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan pulang menjalani tahanan rumah bukanlah reaksi spontan, sebaliknya janji politik yang diumumkan hampir tujuh minggu sebelum keputusan mahkamah dibuat.

Artikel Berkaitan:

Tindakan mengotakan janji berkenaan dilihat sebagai usaha mempertahankan maruah dan kredibiliti diri di mata penyokong serta masyarakat umum, selari dengan prinsip bahawa setiap kata yang dilafazkan perlu disusuli tindakan.

Pada masa sama, keputusan berundur daripada Kabinet tidak bermakna sokongan DAP terhadap Kerajaan Perpaduan turut terjejas.

Anthony dilaporkan menegaskan sokongan penuh parti itu, termasuk kesemua 40 ahli Parlimennya, terhadap kepimpinan Perdana Menteri kekal utuh dan tidak berbelah bahagi.

Pendirian itu memperlihatkan usaha memisahkan perbezaan pandangan terhadap sesuatu isu daripada komitmen terhadap kelangsungan kerajaan yang dibentuk bersama.

Selain itu, penolakan tegas terhadap dakwaan bahawa tindakan berkenaan mencabar atau tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong menunjukkan pendirian itu diletakkan secara khusus kepada isu keadilan dalam kes terbabit.

Secara keseluruhannya, perkembangan berkenaan menguji keupayaan Kerajaan Perpaduan menguruskan perbezaan pandangan dalam kalangan komponennya tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran.

Pertembungan antara keperluan mengekalkan kecekapan tadbir urus dengan ketegasan mempertahankan prinsip individu menjadi antara cabaran yang perlu ditangani kepimpinan kerajaan.

Keupayaan mengimbangi kedua-dua tuntutan itu bakal menjadi ukuran kematangan dan daya tahan gabungan politik berkenaan dalam memastikan kestabilan kerajaan serta kesejahteraan rakyat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!