Polis sahkan ancaman bom bangunan berhampiran pusat beli belah adalah palsu

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan ancaman bom yang diterima melalui e-mel membabitkan sebuah bangunan berhampiran pusat beli belah di sini pada Rabu adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kes itu daripada pengurus pengawal keselamatan bangunan berkenaan pada jam 8.17 malam.
"Pengurus pengawal keselamatan itu memaklumkan telah menerima e-mel mendakwa terdapat bom paip di bangunan tersebut sebelum tindakan pengosongan bangunan dilakukan serta-merta sebagai langkah keselamatan.
"Unit Pemusnah Bom bersama Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi yang dikenal pasti," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Chang Hook berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang bahan letupan, objek mencurigakan atau peralatan berkaitan bom ditemui di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati ancaman palsu yang dihantar menerusi e-mel dengan tujuan menimbulkan ketakutan serta mengganggu keselamatan awam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
