Ramai ingkar PKP nak cari dadah

Lelaki berusia 22 tahun itu yang ditahan di kawasan lapang Kampung Tok Gebok, Ajil, pada jam 6 petang, Isnin lalu didapati positif dadah jenis methamphetamine (Foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu)
Lelaki berusia 22 tahun itu yang ditahan di kawasan lapang Kampung Tok Gebok, Ajil, pada jam 6 petang, Isnin lalu didapati positif dadah jenis methamphetamine (Foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu)
A
A
A

HULU TERENGGANU- Kebanyakan individu yang ditangkap kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan khayal seperti air ketum.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa, mereka menggunakan laluan tikus selain memilih pagi atau petang kerana menganggap tempoh waktu berkenaan 'selamat' untuk bergerak.

Beliau berkata, pihaknya yakin kumpulan ini masing-masing sudah mula keluar mencari bekalan kerana terdesak, mungkin stok sebulan lepas (PKP fasa satu dan kedua) sudah habis.

"Mungkin sudah tidak dapat menahan gian, masing-masing mula keluar semata-mata hendak membeli barang salah tersebut sedangkan mereka tahu tindakan itu salah kerana ingkar PKP. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka menggunakan laluan tikus dan memilih pagi serta petang sahaja untuk bergerak kononnya menganggap 'selamat'.

"Namun, sebenarnya mereka masih tidak selamat kerana semua laluan tikus yang ada sudah dikenalpasti selain rondaan koronovirus (Covid-19) memang diadakan 24 jam sepanjang tempoh PKP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun itu ditangkap bersama sebotol air ketum di dalam raga motosikal dinaiki di Jalan Kampung Durian Bador, Kuala Berang, jam 11 pagi, Rabu lalu (foto ihsan IPD Hulu Terengganu)
Dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun itu ditangkap bersama sebotol air ketum di dalam raga motosikal dinaiki di Jalan Kampung Durian Bador, Kuala Berang, jam 11 pagi, Rabu lalu (foto ihsan IPD Hulu Terengganu)

Mohd Adli berkata, seramai enam individu ditahan sepanjang tempoh PKP fasa 3 berbanding tiada rekod tangkapan dilakukan semasa tempoh PKP fasa satu dan kedua sebelum ini.

"Kesemua yang ditahan terlibat dengan kesalahan penyalahgunaan dadah serta bahan khayal terutama air ketum dan memberi alasan keluar untuk membeli stok barang salah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itulah, mereka ini bertindak agresif semasa ditahan dan cuba melarikan diri kerana membawa barang terlarang itu bersama-sama.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020," katanya.

Jelas Mohd Adli, seramai 190 anggota polis dibantu 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan di daerah ini bagi memastikan PKP dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

"Kesemua anggota terlibat dalam tujuh sekatan jalan raya di daerah ini termasuk di hadapan Balai Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, susur keluar dan masuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Plaza Tol Ajil dan di Jalan Kuala Ping serta penugasan rondaan dan pemantauan di seluruh kawasan di daerah ini," katanya.