Abdul Azeez dapat kebenaran cabar LHDN batal perjanjian cukai RM4.8 juta

Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez Abdul Rahim.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan secara unilateral atau sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta.

Hakim, S Indra Nehru memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu undang-undang dan merit untuk dipertimbangkan mahkamah.

Keputusan itu membolehkan bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun berkenaan meneruskan prosiding semakan kehakiman secara substantif terhadap LHDN.

Selepas prosiding, peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, permohonan itu dibuat bagi mencabar keputusan LHDN membatalkan perjanjian taksiran komposit yang dimeterai kedua-dua pihak pada 9 Februari 2022.

Menurutnya, perjanjian taksiran komposit berkenaan bersifat muktamad dan konklusif di bawah undang-undang, sekali gus tidak boleh dicabar atau dirayu.

"Walau apa pun peruntukan undang-undang itu, LHDN memutuskan untuk membatalkan taksiran komposit berkenaan.

"Disebabkan perkara itu, kami perlu mencabar keputusan tersebut di mahkamah," katanya yang hadir bersama peguam, Nicholas Mark Pereira.

Bagaimanapun, Amer Hamzah berkata, pihaknya turut memohon supaya LHDN tidak mengambil sebarang tindakan susulan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman substantif.

Beliau berkata, mahkamah bersetuju memberikan penggantungan sementara secara ad-interim selama dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengurusan kes ditetapkan pada Isnin depan di hadapan bagi menentukan tarikh pendengaran permohonan penggantungan secara inter partes serta pendengaran substantif semakan kehakiman.

Dalam permohonan yang difailkan pada 6 September lepas, Abdul Azeez memohon mahkamah mencabar keputusan LHDN yang membatalkan perjanjian bertarikh 9 Februari 2022 secara sepihak dan notis taksiran komposit seterusnya bertarikh 22 Mac 2022, melibatkan tahun taksiran 2011 hingga 2020.

Beliau mendakwa perjanjian dan notis taksiran komposit itu adalah muktamad serta mengikut lunas undang-undang, dan memohon perintah mahkamah bagi memaksa LHDN mematuhi perjanjian tersebut.

Abdul Azeez mendakwa LHDN telah menjalankan siasatan cukai terhadapnya pada akhir 2021 atau awal 2022, yang membawa kepada perjanjian bertarikh 9 Februari 2022.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai penyelesaian cukai serta denda sebanyak RM4.8 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020, dan beliau telah menyelesaikan jumlah tersebut melalui ansuran seperti yang dipersetujui.

Beliau kemudiannya memohon untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap LHDN.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Abdul Azeez untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan secara sebelah pihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta.

Peguam Kanan Persekutuan, Ng Siew Wee berkata, permohonan itu pramatang kerana surat yang dikeluarkan oleh LHDN kepada bekas pemimpin UMNO itu pada 7 Ogos lepas menyatakan bahawa pengiraan cukai baharu akan dikeluarkan kemudian, dan ia tidak membangkitkan taksiran atau tuntutan jumlah pembayaran tertentu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!