Abdul Azeez, keluarga diarah isytihar harta dalam tempoh sebulan - SPRM

Abdul Azeez. Gambar fail Bernama
Abdul Azeez. Gambar fail Bernama
A
A
A

KAJANG - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya diminta mengisytihar harta dalam tempoh sebulan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis pengisytiharan tersebut telah diserahkan kepada Abdul Azeez mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, ini bagi pihak terbabit membuat pengisytiharan dan pelaporan harta kepada SPRM

"Pengisytiharan itu perlu dibuat dalam tempoh sebulan dan sekiranya tempoh itu tidak mencukupi, kita akan memberi lanjutan.

"Pengisytiharan harta ini diberi kepada bekas pengerusi itu dan keluarga termasuk anak-anaknya," katanya kepada pemberita dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang di sini pada Sabtu.

Abd Halim (kanan) merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang pada Sabtu.
Abd Halim (kanan) merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang pada Sabtu.

Abdul Azeez sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 September lalu, atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.

Abdul Azeez membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, ahli politik berusia 60 tahun itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Pengerusi Lembaga TH, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan.

Ia membabitkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunirasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan satu kereta jenis BMW 7 Series termasuk seorang pemandu tetap.

Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari, bermula 27 Ogos hingga 2 September, bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Siasatan itu susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!