Tiada majlis berbuka, tarawih bersama rakyat tahun ini: Tengku Hassanal

Tengku Hassanal
Tengku Hassanal
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada penganjuran majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat sepanjang Ramadan tahun ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, Tengku Hassanal membuat keputusan itu 'dengan berat hati', namun perlu dilakukan mengambil kira keadaan negara yang masih berdepan wabak koronavirus (Covid-19) sehingga PKP perlu dilaksanakan.

“Baginda berharap wabak Covid-19 yang masih melanda negara tidak mengurangkan semangat kita semua untuk terus beribadah, malah akan membuatkan kita lebih menginsafi dan mendekatkan diri dengan ALLAH SWT,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal juga menasihatkan seluruh rakyat agar sentiasa mematuhi PKP, menjaga kesihatan diri dan keluarga, memakai topeng muka sekiranya berasa tidak sihat dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial.

"Baginda juga menyeru rakyat agar menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah menerusi kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sama ada secara dalam talian atau melalui sistem penghantaran pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata, baginda turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh rakyat negeri ini.

Artikel Berkaitan: