'Tajaan bawa jemaah ke Tanah Suci bukan sekadar sumbangan' - Amirudin

SHAH ALAM - Bantuan membawa umat Islam ke Tanah Suci bukan sekadar sumbangan berbentuk material, sebaliknya peluang untuk individu terpilih untuk bermuhasabah diri dan menilai semula kehidupan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peluang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci memberi ruang kepada penerima untuk mendekatkan diri kepada Allah serta mengambil iktibar sepanjang berada di Makkah dan Madinah.
Menurut beliau, peluang itu juga membolehkan mereka melakukan muhasabah secara bersendirian atau bersama-sama terutama ketika melaksanakan ibadah seperti tawaf dan saie serta ketika berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
"Sumbangan membawa individu terpilih ke Tanah Suci Makkah merupakan satu usaha yang wajar dipuji kerana memberi peluang kepada mereka menunaikan ibadah di tempat dijanjikan keamanan serta menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Tetamu Allah Menuju Umrah Al- Syifa di sini pada Isnin.
Seramai 101 individu terpilih mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah menerusi tajaan PSU Group of Companies.
Jemaah yang terpilih terdiri dalam kalangan golongan muallaf, fakir miskin dan fisabilillah khususnya mereka yang belum pernah berpeluang menunaikan ibadah umrah dan haji sebelum ini.
Amirudin memberitahu, pengalaman berada di Tanah Suci juga membuka ruang kepada umat Islam untuk melihat kebesaran dan kekuasaan Allah termasuk melihat bagaimana Makkah yang mempunyai keadaan muka bumi kering mampu menjadi tumpuan jutaan manusia.
Jelas beliau, peluang menunaikan umrah juga boleh menjadi titik permulaan kepada penerima untuk memperbaiki kehidupan dan seterusnya membuka jalan kepada mereka menunaikan ibadah haji pada masa akan depan.
"Saya ucapkan selamat menunaikan umrah, semoga mendapat umrah mabrur. Inilah peluang yang baik untuk kita berfikir semula tentang kehidupan kita di mana pun kita berada," jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan PSU Group of Companies, Mohammad Arrief Mu’min berkata, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi tajaan individu terpilih mengerjakan umrah pada September ini.
Katanya, semua penerima ditapis dan disahkan dalam kategori asnaf sebelum dipilih menyertai program berkenaan.
Menurutnya, peserta terdiri daripada jemaah dari 14 negeri dengan lingkungan usia antara 31 hingga 79 tahun, manakala kira-kira 90 peratus berusia antara 55 hingga 78 tahun.
Mohammad Arrief berkata, semua urusan perjalanan jemaah termasuk pengangkutan, penginapan dan kursus diuruskan sepenuhnya pihak penganjur menerusi agensi pelancongan yang dilantik.
"Peserta turut menerima kelengkapan seperti kain ihram dan telekung, selain wang saku bagi kegunaan sepanjang berada di Tanah Suci.
"Jemaah tidak perlu menanggung apa-apa kos kecuali membawa pakaian sendiri. Yang lain seperti ihram dan telekung semuanya kita beri," tambah beliau.
Menurutnya, jemaah terbabit berlepas ke Madinah pada jam 2.15 pagi dan akan berada di Tanah Suci selama sembilan hari sebelum kembali ke tanah air.
Beliau berkata, idea menganjurkan program itu tercetus selepas pihaknya mendengar hasrat golongan asnaf yang mahu menunaikan ibadah di Tanah Suci, tetapi tidak mempunyai kemampuan.
"Kita tanya apakah hasrat yang belum mereka penuhi, mereka tidak minta wang, sebaliknya kalau boleh, hantar mereka ke Tanah Suci kerana tidak tahu sama ada mereka berpeluang pergi atau tidak.
"Jadi saya terfikir, walaupun kita beri wang RM200 atau RM300, wang itu mungkin habis digunakan dalam satu atau dua minggu, tetapi apabila kita beri peluang pergi ke Tanah Suci, kepuasan yang mereka dapat selepas pergi dan kembali itu lain," jelasnya.
Mohammad Arrief berkata, program sama akan diteruskan dan permohonan bagi mendapatkan tajaan biasanya dibuka kira-kira dua bulan sebelum tarikh keberangkatan.
Katanya, pihaknya merancang meneruskan program itu pada Januari tahun depan dan seterusnya pada Oktober tertakluk kepada perancangan serta kemampuan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

