'Makmurkan' ibadah bersama keluarga: MB Kelantan

Datuk Ahmad Yakob
Datuk Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyeru rakyat Kelantan 'memakmurkan' amalan ibadah bersama keluarga sepanjang Ramadan yang turut berlangsung dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob melalui perutusan Ramadannya berkata, walaupun sambutan Ramadan kali ini mencabar kerana disambut ketika dunia berhadapan wabak koronavirus (Covid-19), semua pihak perlu mengambil sepenuhnya hikmah dan pengajaran atas ujian tersebut.

Beliau turut berharap supaya semua pihak menjadikan Ramadan sebagai penggerak yang membawa perubahan besar dalam diri dan keluarga serta mampu mendidik hati dan jiwa untuk mematuhi perintah dan larangan-Nya.

"Marilah kita sama-sama berdoa kepada ALLAH S.W.T dalam bulan yang penuh keberkatan ini agar Allah memberikan kita keselamatan dan perlindungan daripada segala penyakit dan wabak yang berbahaya," katanya.

Beliau turut menekankan umat Islam supaya membaca dan menghayati ayat-ayat al-Quran, selain tidak meninggalkan solat sunat tarawih, witir dan tahajud di bulan Ramadan yang mempunyai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain.

"Ramadan juga dikenali sebagai bulan bersama al-Quran, jadi teramat sesuai setiap individu, keluarga bahkan sesebuah kerajaan itu mementingkan agenda al-Quran dalam kehidupan.

"Kita diseru agar bukan setakat membaca al-Quran bahkan menganalisa dan meneliti kandungannya.

"Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaannya perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredaan ALLAH S.W.T," katanya.

Artikel Berkaitan: