Rafizi beri tamparan kepada DAP, terima waris Teoh Ben Hock – Penganalisis

KUALA LUMPUR - Tindakan parti Bersama menandatangani satu ikrar menuntut siasatan baharu terhadap kematian Teoh Beng Hock satu tamparan memalukan buat DAP yang gagal menyelesaikan kes tersebut walaupun telah menjadi kerajaan.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, walaupun tindakan Bersama itu boleh dilihat sebagai usaha untuk memancing undi kaum Cina, namun pada masa sama, ia memberikan gambaran negatif buat DAP walapun Rafizi pernah bersekongkol dengan mereka.
“Isu Beng Hock bukan isu Pakatan Harapan (PH) walaupun berada dalam satu pakatan, kerana PKR ataupun Amanah tidak selalunya mengadakan program berkaitannya.
“Hanya DAP sahaja menggunakan isu Beng Hock untuk menaikkan lagi kemarahan rakyat terutama kaum Cina kepada kerajaan sebelum ini.
“Jadi apabila Bersama pula mengambil isu ini sebagai perjuangan mereka, pastinya DAP rasa termalu kerana tiada lagi alasan untuk tidak menyelesaikannya kerana mereka telah menduduki kerajaan dan pemimpinnya adalah menteri-menteri dalam kabinet MADANI,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kesemua 16 calon Parti Bersama yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah menandatangani satu ikrar yang menuntut siasatan baharu terhadap kematian Beng Hock, termasuk pelantikan pakar penyiasatan jenayah antarabangsa.
Tindakan tersebut dibuat ketika keluarga Beng Hock masih meneruskan usaha perundangan bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat kematiannya sebagai kes bunuh atau homisid salah di sisi undang-undang (culpable homicide).
Ikrar yang digerakkan oleh Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi itu turut menggesa pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penggubalan undang-undang ant penyeksaan bagi mencegah kejadian kematian dalam tahanan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
