Timbalan Premier Bavaria ditemukan maut di hotel

BERLIN - Timbalan Perdana Menteri Bavaria, Hubert Aiwanger, ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik hotel di Berlin pada usia 55 tahun, menurut pihak pendakwa raya lewat Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Aiwanger, yang turut berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi di negeri selatan Jerman itu, ditemukan di biliknya di Hotel Neuer Fritz pada awal petang, menurut pejabat pendakwa raya awam Berlin. Punca kematiannya masih belum diketahui.
"Keadaan sebenar beliau ditemukan tidak dapat didedahkan buat masa ini atas sebab-sebab penyiasatan," kata jurucakap pejabat pendakwa raya tersebut.
Polis telah memulakan siasatan untuk mengenal pasti keadaan dan punca kematian serta memastikan tiada penglibatan pihak ketiga. Bedah siasat dijangka diarahkan.
Para penyiasat sedang memeriksa bilik hotel berkenaan dan mungkin akan menyoal saksi-saksi, tambah jurucakap itu.
Aiwanger dijadualkan berucap pada majlis perasmian pejabat Berlin bagi Free Voters, parti yang dipimpinnya di peringkat negeri dan kebangsaan.
Beliau telah membatalkan kehadirannya atas sebab kesihatan dan kemudian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya.
Perdana Menteri Bavaria, Markus Söder berkata, beliau amat terkejut dengan berita tersebut.
"Kematian mengejut Hubert Aiwanger merupakan satu tragedi besar," tulis beliau di platform X sambil mengucapkan takziah kepada keluarga dan anak-anak Aiwanger.
Aiwanger menjadi ketua kumpulan parlimen Free Voters di Bavaria pada 2008.
Parti itu menyertai kerajaan campuran bersama parti konservatif Christian Social Union (CSU) pada 2018 yang menyaksikan beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi.
Beliau meninggalkan dua anak dan isteri, Tanja Schweiger, yang merupakan pentadbir daerah di Bavaria. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
