Raja, Permaisuri Thailand berangkat ke majlis tilawah al-Quran di Pattani

Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida berkenan berangkat ke Masjid Pusat Pattani. Foto: Agensi
Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida berkenan berangkat ke Masjid Pusat Pattani. Foto: Agensi
A
A
A

PATTANI - Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida berkenan berangkat ke Masjid Pusat Pattani bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-19 pada Sabtu.

Keberangkatan pasangan diraja itu turut disambut pemimpin agama Islam, pegawai kerajaan dan masyarakat setempat yang hadir bagi menyaksikan majlis berkenaan.

Menurut laporan Jabatan Perhubungan Awam Thailand, pasangan diraja tiba di Masjid Pusat Pattani kira-kira jam 5.54 petang waktu tempatan sebelum disambut Timbalan Gabenor Pattani, Chaiyaporn Niyomkaew dan Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh juara pertandingan peringkat kebangsaan 2025, Fauzi Hama, diikuti terjemahan maknanya dalam bahasa Thai.

Pemangku Gabenor Pattani, Sanan Sonthimuang kemudian menyampaikan laporan mengenai objektif penganjuran pertandingan berkenaan.

Pasangan diraja seterusnya berkenan menyampaikan piala kepada para pemenang, termasuk penerima hadiah utama, naib juara dan hadiah penghargaan.

Turut menerima penghargaan ialah barisan hakim pertandingan serta pihak yang memberikan sokongan kepada penganjuran acara tersebut.

Pada majlis sama, pasangan diraja turut berkenan menyampaikan plak penghargaan dan hadiah wang tunai kepada anggota jawatankuasa Islam peringkat wilayah serta imam yang diiktiraf atas prestasi cemerlang sepanjang 2025.

Selain itu, pasukan perubatan diraja dengan kerjasama agensi kesihatan tempatan turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan serta rawatan kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Seramai 787 penduduk menerima pemeriksaan dan rawatan, manakala enam pesakit dipilih untuk menerima bantuan perubatan di bawah naungan diraja.

Pasangan diraja turut berkenan menyantuni penduduk yang hadir menyambut keberangkatan mereka, selain mengurniakan makanan halal kepada orang ramai.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program rasmi pasangan diraja Thailand di wilayah selatan negara berkenaan yang turut memberikan perhatian kepada pendidikan agama, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!