Kementerian sahkan syarikat eksport pasir patuh syarat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menjelaskan empat syarikat menjalankan aktiviti pengeksportan pasir ke luar negara mematuhi syarat ditetapkan.

Kementerian melalui kenyataan berkata, pengeksportan bahan seperti pasir tersenarai dalam Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, lesen eksport (AP) perlu diperoleh terlebih dahulu daripada kementerian dan permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur ditetapkan.

“Sebelum pertimbangan dan kelulusan menteri, syarikat berkenaan terlebih dahulu perlu memenuhi syarat ditetapkan dan memperoleh kelulusan Kerajaan Negeri di mana sumber pasir itu diperoleh.

“Tidak berbangkit isu rundingan terus seperti dilaporkan memandangkan mana-mana syarikat boleh mengemukakan permohonan mengeksport pasir jika mematuhi syarat ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam perkembangan sama, kementerian memandang serius penyiaran dan penularan dokumen rasmi dalaman dan akan mengadakan siasatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku pada masa hadapan.

Semalam, sebuah portal, Sabahkini2.com memuat naik artikel bertajuk ‘Menteri luluskan AP eksport pasir secara 'rundingan terus' kepada 4 syarikat kroni’.

Dalam laporan itu, disertakan nama syarikat terbabit termasuk surat menggunakan kepala surat kementerian ditandatangani Dr Gerald Sundaraj, Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Air, Tanah dan Sumber Asli.

Artikel Berkaitan: