Pemilik runcit dikompaun RM1,000 gagal pamer tanda harga

Sayur-sayuran yang dijual di kedai runcit berkenaan tidak dipamerkan tanda harga.
Sayur-sayuran yang dijual di kedai runcit berkenaan tidak dipamerkan tanda harga.
A
A
A

JITRA - Seorang pemilik kedai runcit di pekan Jitra di sini dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu kerana tidak mempamerkan tanda harga.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu, K Muniandy berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan isu terbabit pagi tadi sebelum sepasukan anggota yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa Che Azimin Che Ramli bertindak membuat pemeriksaan di premis berkenaan.

Seorang pegawai penguatkuasa sedang membuat pemeriksaan di kedai runcit berkenaan setelah menerima aduan pengguna pagi tadi.
Seorang pegawai penguatkuasa sedang membuat pemeriksaan di kedai runcit berkenaan setelah menerima aduan pengguna pagi tadi.

Katanya, pemeriksaan pada jam 10 pagi itu mendapati pemilik premis tidak mempamerkan sebarang tanda harga pada sayur-sayuran dan ikan yang diletakkan untuk jualan.

"Tindakan telah diambil mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

"Peniaga berkenaan kemudiannya menjelaskan bayaran kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan ke atasnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Tambahnya, pihak KPDNHEP memberi peringatan dan amaran kepada semua peniaga supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu pengguna yang mempunyai maklumat dan aduan boleh menyalurkannya melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Sayur-sayuran yang dijual di kedai runcit berkenaan tidak diletakkan sebarang tanda harga.
Sayur-sayuran yang dijual di kedai runcit berkenaan tidak diletakkan sebarang tanda harga.

"Aduan juga boleh dibuat di aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC),"katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Muniandy berkata, penduduk di daerah ini tidak perlu bimbang berkaitan bekalan barangan sempena sambutan bulan Ramadan yang dijangka pada esok hari.

"Setakat ini semua bekalan kita mencukupi termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum dan lain-lain lagi, jadi penduduk tidak perlu risau walaupun kita sekarang masih dalam tempoh PKP," katanya.