Netizen terkejut prosiding mahkamah dalam bahasa Inggeris

Antara komen netizen supaya prosiding mahkamah menggunakan bahasa kebangsaan.
Antara komen netizen supaya prosiding mahkamah menggunakan bahasa kebangsaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketika bidang kehakiman Malaysia mencipta sejarah menyiarkan prosiding mahkamah secara dalam talian hari ini, lain pula pendapat netizen apabila mereka mempertikai perbicaraan itu dibuat dalam bahasa Inggeris dan bukannya bahasa kebangsaan.

Prosiding menerusi portal rasmi badan kehakiman di www.kehakiman.gov.my yang turut disiarkan di Facebook Sinar Harian, telah menarik lebih 32,000 tontonan dengan 170 komen dan 41 perkongsian dalam masa hanya dua jam, selepas ia disiarkan.

Seorang pelayar Facebook menggunakan profil nama Aziz Aziz berkata, bahasa Melayu selalu diketepikan sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan, manakala seorang lagi pelayar, Arumugam Ramasamy berpendapat, ia wajar dijelaskan dalam bahasa kebangsaan.

Ahmad Apandi Fendi pula berkata, "Gunakan bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu."

Hʌɱɗʌŋ Ƴʋsoʆ pula menulis, "Bukankah kerajaan suruh guna bahasa Malaysia dalam urusan rasmi?"

"Bahasa kebangsaan kan ada," kata Latif Cambu pula.

Pertikaian mengenai isu bahasa itu turut menyebabkan pelayar lain mencadangkan agar ruangan komen ditutup.

Bagaimanapun, perkembangan itu secara tidak langsung memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan dalam prosiding mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Oh, ingat kat Malaysia ni, mahkamah guna bahasa Malaysia," tulis Haji Azizan Md Isa.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Mohamed Haniff Khatri Abdulla

Sementara itu, peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla menganggap prosiding kali ini benar-benar mencipta sejarah bukan sahaja kepada bidang kehakiman negara, malah netizen juga boleh mengutarakan pendapat masing-masing.

Mohamed Haniff berkata, kes perbicaraan di mahkamah biasanya dihadiri ahli keluarga, agensi atau media yang mana ia boleh mencecah tidak lebih 200 orang, sebaliknya berbeza dengan siaran langsung secara talian kerana ia boleh ditonton jutaan penduduk.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ada pihak terkejut kerana prosiding dibuat tidak menggunakan bahasa kebangsaan sambil memberitahu mungkin ada yang tidak tahu penggunaan bahasa lnggeris berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, yang membenarkan penggunaan bahasa berkenaan digunakan selepas tempoh 10 tahun dari tarikh peruntukan itu dibuat.

“Segelintir yang tidak pernah menjejakkan kaki ke mahkamah, mereka akan membandingkan perbicaraan mahkamah boleh dibuat dalam bahasa Inggeris, sedangkan perbahasan di Parlimen (hanya) dalam bahasa Melayu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, melalui sejarah perundangan negara yang menyaksikan lebih ramai pihak dapat mengakses, ia sudah tentu akan menjadi permulaan kepada perjuangan bahasa kebangsaan sebagai penggunaan rasmi dalam semua bidang.

Hari ini, Badan Kehakiman Malaysia mencipta sejarah melalui prosiding perbicaraan mahkamah dibuat secara langsung menerusi dalam talian.

ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Prosiding bermula pada jam 10 pagi tadi oleh jurubahasa sebelum disambung peguam, K F Ee yang mewakili tiga individu warga China, Zhoa Fangliang, Jin Haifang dan Zhu Cunhua.

Pada perbicaraan itu, tiga panel hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Kamardin Hashim, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Azizah Nawawi, mendengar rayuan yang dikemukakan perayu terhadap Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd.

https://www.facebook.com/SinarHarian/videos/2656238137821541/