Rendam ayam dalam air berarus elektrik sebelum sembelih

SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Taktik merendam ayam dalam air berarus elektrik sebelum disembelih terbongkar dalam serbuan sebuah gudang di Puchong di sini pada Jumaat.
Serbuan menerusi Op Taring Chiller kira-kira jam 12.40 tengah malam itu membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing serta rampasan 6,555 kilogram (kg) ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik (Water Bath Stunning) dalam proses pengendalian ayam sebelum penyembelihan.
"Bagaimanapun, kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, keadaan ini menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal ayam yang diproses di premis berkenaan.
"Ini kerana ayam yang telah mati sebelum disembelih tidak memenuhi syarat penyembelihan halal.
"Perkara ini menjadi antara fokus utama siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti kaedah operasi sebenar, tahap pematuhan prosedur penyembelihan serta implikasinya terhadap status halal produk ayam yang telah diproses dan diedarkan kepada pengguna," katanya.
Beliau berkata, kesemua 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang ditahan dipercayai bekerja dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis terbabit.
Bekalan dipercayai ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemukan 468 bungkusan plastik berisi ayam mentah dengan anggaran berat keseluruhan 6,555kg.
"Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan itu untuk tempoh yang panjang dengan bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.
"Bekalan ayam yang diproses kemudian dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana serta Putrajaya," katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pembekalan dan pengedaran, termasuk jumlah sebenar ayam yang diproses setiap hari serta pihak lain yang terbabit.
"JAIS mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
"JAS Selangor turut mengeluarkan notis penahanan kelengkapan operasi mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan notis pembersihan susulan ketidakpatuhan aspek kebersihan dan pengendalian makanan," katanya.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan 468 bungkusan plastik berisi ayam mentah dengan anggaran berat keseluruhan 6,555kg.
Ujarnya, pihak polis mengambil tindakan terhadap kesemua 12 individu berkenaan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua ayam mentah yang dirampas ditempatkan sementara di pejabat JAIS di Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohd Zaki berkata, pihaknya memandang serius sebarang kegiatan yang melibatkan penipuan dan ketidakpatuhan dalam rantaian bekalan makanan.
"Khususnya perkara yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna serta keyakinan masyarakat terhadap sistem pensijilan halal negara.
"Kerjasama antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuh bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang serta memastikan keselamatan masyarakat terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

