Op Taring Alpha: Polis rampas vape, rokok seludup lebih RM12 juta

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan vape yang dirampas.
Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan vape yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman berjaya merampas produk vape serta rokok seludup bernilai lebih RM12 juta menerusi dua serbuan berasingan di Selangor dalam Operasi Taring Alpha.

Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan Op Taring Alpha 3 dijalankan di sebuah premis di Batu Caves pada 28 Julai lalu hasil kerjasama Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang.

"Pemeriksaan terhadap lima individu membawa kepada rampasan lebih 131,036 kotak serta 4,900 botol cecair vape dan 25,510 unit peranti rokok elektronik pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM9.4 juta," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati produk berkenaan dipercayai tidak mematuhi peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

"Siasatan awal turut mendapati produk dari China itu diseludup masuk dengan menggunakan taktik pengisytiharan palsu.

"Kesemua individu bersama barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.

Mohd Yusri menunjukkan rokok seludup yang dirampas
Mohd Yusri menunjukkan rokok seludup yang dirampas

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusri berkata, Op Taring Alpha 1 yang dijalankan di sebuah premis di Puchong pada 27 Julai lalu berjaya membongkar kegiatan penyimpanan, penjualan dan pengedaran rokok tanpa lesen serta tidak bercukai.

"Tiga lelaki tempatan yang dipercayai menguruskan operasi sindiket berkenaan ditahan dalam serbuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas sebanyak 166 peti yang mengandungi 8,300 karton rokok dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM3.306 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Mengulas prestasi WCB/PSK sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu, Mohd Yusri berkata, sebanyak 236 kes direkodkan dengan 411 tangkapan serta nilai rampasan keseluruhan mencecah RM280.4 juta.

"Bagi Op Taring Alpha 3 (vape), sebanyak 11 kes direkodkan melibatkan lima tangkapan dengan nilai rampasan RM9.5 juta, manakala Op Taring Alpha 1 (rokok seludup) merekodkan lima kes, 10 tangkapan dan rampasan bernilai RM6.1 juta," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan yang dilaksanakan WCB/PSK bersama pelbagai agensi strategik termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, KPDN, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta beberapa agensi penguat kuasa lain.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan sama ada sebagai dalang, pembekal, penyimpan, pengangkut atau pengedar.

"Tindakan penguatkuasaan tidak akan terhenti setakat rampasan dan tangkapan semata-mata. Fokus utama JKDNKA adalah untuk mengenal pasti, menjejaki dan melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket sehingga ke peringkat dalang utama melalui tindakan risikan, siasatan dan penguatkuasaan secara bersepadu," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!