Tiga daerah di Selangor masih zon merah

Tiga daerah di Selangor masih dikategorikan sebagai zon merah iaitu lebih 41 kes aktif positif Covid-19.
Tiga daerah di Selangor masih dikategorikan sebagai zon merah iaitu lebih 41 kes aktif positif Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya tiga daerah di Selangor masih dikategorikan sebagai zon merah yang mempunyai kes aktif koronavirus (Covid-19) melebihi 41 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi info grafik yang dikongsi di akaun Facebook rasminya memaklumkan tiga daerah itu termasuk Petaling yang merekod 107 kes, Hulu Langat (81 kes) dan Klang (44 kes).

Selangor merekod sebanyak 1,357 kes terkumpul sehingga jam 12 tengah hari semalam dengan satu kes baharu direkodkan.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, 14 kematian dicatat di Selangor, 1,047 pesakit dilapor sembuh dan 285 kes masih aktif.

“Walaupun kes aktif semakin berkurangan, kita masih perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Kita masih belum menang. Kekalkan momentum kita semua untuk menjayakannya,” menurut kenyataan dimuat naik dalam Facebook tersebut.

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), di laman Facebooknya memaklumkan jumlah kawasan mukim yang diklasifikasikan sebagai zon merah di Selangor masih kekal satu iaitu mukim Hulu Langat.

Menurut kenyataan yang dimuat naik, kawasan zon jingga berkurangan kepada empat apabila mukim Kajang bertambah baik dan kini ditakrif sebagai kawasan zon kuning.

Artikel Berkaitan:

“Namun jangan ambil mudah, teruskan momentum patuh PKP. Virus Covid-19 masih ada di luar sana dan risiko jangkitan belum tamat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, enam daerah di Selangor ditakrif sebagai zon merah berikutan merekod lebih 41 kes Covid-19.

Ia termasuk Hulu Langat yang merekod 446 kes keseluruhan; Petaling (372 kes); Klang (173 kes); Gombak (144 kes); Sepang (71 kes) dan Hulu Selangor (50 kes).