Ditipu RM361,570 beli topeng muka, cecair pembasmi kuman

AYOB KHAN - Foto Bernama
AYOB KHAN - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua peniaga membuat laporan polis kelmarin mendakwa kerugian RM361,570 selepas diperdaya dalam urusan pembelian topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan menerusi laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua mangsa dikatakan berurusan dengan seorang lelaki yang mereka kenali sebelum menyerahkan wang tunai dan turut melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun suspek.

"Kedua-dua peniaga membuat bayaran semuanya berjumlah RM361,570 namun selepas mengesyaki ditipu apabila tidak mendapat bekalan yang dijanjikan, mereka membuat laporan polis kelmarin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan tersebut, pada hari yang sama polis menahan suspek dan merampas telefon bimbit serta beberapa dokumen.

"Hasil siasatan mendapati suspek bukan pembekal topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan," katanya

Menurutnya, suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika membuat pembelian barang dan memeriksa latar belakang penjual serta menyemak nombor akaun bank di laman webwww.ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 126 individu ditahan di seluruh Johor semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan statistik keseluruhan tangkapan sehingga ini 2,889.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini kata beliau, seramai 1,832 individu sudah didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut, justeru berharap semua pihak mematuhi arahan PKP yang kini memasuki fasa ketiga.