Pahang peruntuk RM3.4 juta jayakan program untuk belia

KUANTAN- Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM3.4 juta bagi menjayakan program melibatkan golongan belia tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa meletakkan pembangunan belia di Pahang sebagai satu agenda yang penting.
Menurutnya, peruntukan untuk belia tidak dianggap sebagai satu perbelanjaan sebaliknya pelaburan kepada modal insan,bakat, kepimpinan dan pelaburan kepada masa depan negeri.
"Kita tahu anak-anak muda ini aset negeri, jadi inisiatif ini salah satu cara kita melabur bagi melahirkan generasi muda yang berjaya bukan sahaja dalam pelajaran dan kerjaya, tetapi mempunyai akhlak, disiplin, daya saing, jadi diri, semangat kesukarelawanan serta cintakan negeri dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2026 dan Pelancaran Program Walk A Town With Me Pahang 1st di Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) Negeri Pahang di sini pada Ahad.
Turut hadir Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM400,000 bagi bagi menjayakan Festival Belia Pahang yang melabuhkan tirai pada Ahad.
"Alhamdulillah syukur kepada ALLAH, festival ini telah pun selesai dan mendapat sambutan luar jangka.
"Program ini akan diteruskan dan untuk tahun depan kita tambah peruntukkannya kepada RM500,000," umumnya.
Sementara itu, Wan Rosdy berpuas hati dengan sambutan luar jangka untuk Program 'Walk A Town With Me Pahang 1st' yang julung kali dianjurkan.
"Kehadiran di luar jangka, baju pun tak cukup. Kita akan tambah, kena bagi sebab mereka datang dengan penuh harapan, beratur dan sebagainya.
"Saya harap semua akan dapatlah. Cukup memang tak cukuplah tapi sekurang-kurangnya siapa yang datang pada malam ini dapat," katanya.
Bagi beliau, program Walk A Talk With Me Pahang 1st menjadi satu tarikanlah kepada anak-anak muda.
Justeru itu, beliau akan meneruskan program ke semua kawasan Parlimen di di Pahang.
"Kita ada 14 Parlimen dan akan diselesaikan pada tahun ini juga. Insya-ALLAH.
"Di mana jika saya berkesempatan, saya akan hadir, jika tidak, sahabat saya dalam kepimpinan kerajaan akan mewakili sayalah. kita akan menyediakan peruntukan secukupnya untuk tahun depan," ujarnya.
Beliau berkata, usaha bagi memenuhi denyut nadi anak-anak muda.
Menurutnya, dengan adanya program tu, mereka dapat mengisikan masa dengan program-program yang mendatangkan faedah dan bermanfaat.
"Ini satu platform untuk belia mengeratkan silaturrahim sesama mereka," ujarnya.
Sementara itu, Wan Rosdy turut menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang berkenan merasmikan Kombes Negeri Pahang, Jumaat lalu.
"Saya berharap kompleks ini menjadikan pusat pembangunan belia yang aktif untuk kita mencungkil bakat, mengembangkan potensi dan melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin muda daripada daripada Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

