Mencari ketenangan di Teluk Renjuna

Bot menyusuri Sungai Kelantan untuk sampai Teluk Renjuna.
Bot menyusuri Sungai Kelantan untuk sampai Teluk Renjuna.
A
A
A

TUMPAT – Hanya sekitar 15 minit menaiki bot dari Jeti Kok Majid mampu membawa pengunjung meninggalkan hiruk-pikuk bandar untuk menikmati suasana sebuah perkampungan pulau yang masih mengekalkan wajah tradisionalnya.

Menuju ke Teluk Renjuna perlu merentasi Sungai Kelantan yang menghidangkan panorama kehidupan masyarakat sungai.

Akan kelihatan nelayan tekun membaiki pukat di tebing, bot-bot kecil berulang-alik membawa penduduk, manakala air sungai yang surut mendedahkan tebing berlumpur yang menjadi sebahagian daripada nadi kehidupan komuniti setempat.

Sebaik menjejakkan kaki di Teluk Renjuna, pengunjung akan disambut dengan suasana tenang tanpa kesesakan lalu lintas atau bunyi hon kenderaan.

Deretan rumah penduduk, bot-bot yang berlabuh di tepi sungai dan sapaan mesra masyarakat setempat mencipta sebuah perkampungan yang seolah-olah mengembalikan nostalgia kehidupan kampung suatu ketika dahulu.

Kemeriahan kehidupan cara kampung di Teluk Renjuna. Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna
Kemeriahan kehidupan cara kampung di Teluk Renjuna. Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna

Pulau seluas kira-kira lima kilometer persegi yang dihuni hampir 600 penduduk itu turut dilengkapi kemudahan seperti Masjid Mukim Teluk Renjuna, klinik dan tanah perkuburan, namun masih mengekalkan identiti sebagai komuniti yang hidup rapat dengan sungai, alam semula jadi serta warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.

Bagi kakitangan awam, Mohd Yusoff Mohd Zain, 52, kunjungan pertamanya ke Teluk Renjuna membuka perspektif baharu terhadap keindahan yang masih tersimpan di bumi Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun saya orang Kelantan dan menetap di Ketereh, inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Teluk Renjuna.

“Saya tidak sangka suasananya begitu tenang. Sepanjang perjalanan menaiki bot, saya dapat melihat kehidupan masyarakat di sepanjang sungai, manakala apabila tiba di kampung ini pula, terasa seperti kembali ke suasana kampung suatu ketika dahulu.

“Kadang-kadang kita sibuk mencari tempat menarik di luar negeri, sedangkan di Kelantan sendiri ada lokasi yang cukup mendamaikan seperti ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Juadah istimewa kerabu nipah (kiri) juga boleh dinikmati manakala kuih kapit dihasilkan kaum wanita di Teluk Renjuna - Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna
Juadah istimewa kerabu nipah (kiri) juga boleh dinikmati manakala kuih kapit dihasilkan kaum wanita di Teluk Renjuna - Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna

Bagi penduduk yang mengusahakan bot penambang, Mustafa Salleh, 75, Sungai Kelantan bukan sekadar laluan pengangkutan, malah menjadi saksi perjalanan hidupnya selama lebih lima dekad.

Ceritanya, sepanjang 57 tahun mengendalikan bot penambang dari Jeti Kok Majid dan Jeti Kuala Besar ke Pasar Terapung Sri Tanjung, sungai sentiasa dipenuhi penduduk serta pengunjung yang berulang-alik.

“Dulu setiap hari Jumaat dan Sabtu memang ramai orang menggunakan bot untuk ke pasar terapung. Ada yang membeli-belah, ada juga datang semata-mata mahu menikmati suasana di sini.

“Saya gembira kerana semakin ramai orang datang mengenali Teluk Renjuna dan melihat sendiri kehidupan masyarakat di pulau ini,” kongsinya.

Aktiviti sukan rakyat di air yang diadakan di Teluk Renjuna. Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna
Aktiviti sukan rakyat di air yang diadakan di Teluk Renjuna. Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna

Sementara itu, penduduk, Rodiah Mamat, 55, berkata, kehidupan di Teluk Renjuna menawarkan ketenangan yang sukar dicari di tempat lain.

Berasal dari Pulau Beluru sebelum menetap di Teluk Renjuna selepas mendirikan rumah tangga, dia berkata, walaupun dipisahkan oleh sungai, penduduk tidak pernah berasa terasing kerana segala kemudahan asas tersedia.

“Di sini memang tenang. Tidak ada kesesakan jalan raya dan masyarakat saling mengenali antara satu sama lain.

“Ramai yang datang bukan sekadar melancong. Ada institusi pendidikan yang menganjurkan program anak angkat. Peserta tinggal bersama keluarga angkat untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat pulau.

“Mereka belajar cara hidup kami, menikmati makanan tradisional dan melihat sendiri bagaimana masyarakat bergantung kepada sungai serta hasil kelapa untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Antara warisan muzik dan gendang yang terpelihara boleh dilihat di Teluk Renjuna. Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna
Antara warisan muzik dan gendang yang terpelihara boleh dilihat di Teluk Renjuna. Foto: Ihsan Masjid Teluk Renjuna

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, Teluk Renjuna mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan komuniti berikutan keunikan perkampungan pulau serta keindahan alam semula jadinya.

“Teluk Renjuna mempunyai keunikan dan keindahan yang cukup istimewa. Lokasinya sangat cantik dan berpotensi menjadi antara destinasi pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

“Hari ini ramai mengenali Pulau Sri Tanjung dan saya berharap Teluk Renjuna juga dapat diketengahkan sebagai lokasi persinggahan utama sebelum pengunjung meneruskan perjalanan ke pasar terapung di Pulau Sri Tanjung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!