MEF gesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap pekerja asing, utamakan pekerja tempatan

Syed Hussain
Syed Hussain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan agar memperketat penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan kelulusan pengambilan pekerja asing bagi memastikan mereka hanya diambil dalam sektor yang dibenarkan dan pekerjaan yang benar-benar mengalami kekurangan tenaga kerja.

Dalam satu kenyataan hari ini, MEF memaklumkan laporan mengenai pekerja asing yang diambil bekerja sebagai juruwang, pembantu jualan, petugas perkhidmatan dan pekerja perkhidmatan makanan menimbulkan kebimbangan sama ada dasar pengambilan pekerja yang sedia ada dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan sewajarnya.

Persekutuan itu menegaskan rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan yang tersedia, manakala majikan diharap berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil, melatih dan mengekalkan pekerja tempatan sebelum mendapatkan tenaga kerja asing.

"Usaha ini perlu merangkumi penawaran gaji yang kompetitif dan mampan, penambahbaikan keadaan kerja, penyediaan peluang kemajuan kerjaya serta pelaburan dalam pembangunan kemahiran,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MEF mengakui pekerja asing masih diperlukan bagi mengisi pekerjaan tertentu yang bersifat kotor, berbahaya dan sukar (3D), selain jawatan lain yang sukar menarik dan mengekalkan pekerja tempatan walaupun usaha sewajarnya telah dilakukan untuk mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan rakyat Malaysia.

MEF turut mencadangkan pemeriksaan pematuhan diperketat, serta tindakan tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan kelulusan pengambilan pekerja asing dan kawalan lebih kukuh dilaksanakan dengan majikan perlu membukitkan kesukaran mereka mendapatkan pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum permohonan pengambilan pekerja asing diluluskan.

Persekutuan itu turut menggesa penyelarasan dan perkongsian data yang lebih baik antara kementerian serta agensi penguatkuasaan berkaitan, di samping semakan berkala terhadap kekurangan tenaga kerja bagi memastikan kelulusan pengambilan pekerja asing mencerminkan permintaan sebenar.

MEF juga meminta kerajaan mempertimbangkan peluasan sekatan secara berperingkat terhadap penggajian pekerja asing dalam pekerjaan terpilih yang masih boleh diisi oleh tenaga kerja tempatan, sambil mengingatkan sekatan menyeluruh boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi dan gangguan terhadap perkhidmatan penting.

Sementara itu, Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pekerja asing memainkan peranan penting dalam sektor yang benar-benar mengalami kekurangan tenaga kerja, namun mereka tidak seharusnya menjadi pengganti kepada usaha membangunkan tenaga kerja tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan mesti mengambil tindakan tegas terhadap majikan, ejen pengambilan pekerja atau pihak lain yang menyalahgunakan kelulusan pengambilan pekerja asing, mengelak sekatan mengikut sektor atau menempatkan pekerja asing dalam pekerjaan selain daripada yang dibenarkan dan diluluskan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kebergantungan berlebihan terhadap tenaga kerja asing tanpa pelaburan sewajarnya dalam pembangunan bakat tempatan boleh mendedahkan Malaysia kepada risiko gangguan bekalan tenaga kerja, peningkatan kos pengambilan pekerja dan kelemahan struktur dalam produktiviti.

"Matlamat utama bukan sekadar mengehadkan jumlah pekerja asing yang memasuki Malaysia, sebaliknya membangunkan tenaga kerja tempatan yang lebih berdaya saing bagi menyokong kemampanan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!