Kes MyEG, Zetrix: 15 individu termasuk pegawai JPJ direkod keterangan - JSJK

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sudah merekodkan keterangan 15 individu termasuk pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan bernilai RM230.9 juta membabitkan MY EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad (Kumpulan MYEG).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan kes ini masih dijalankan.

"Jumlah rakaman percakapan yang telah diambil setakat ini ialah seramai 15 orang.

"Daripada jumlah itu, 12 orang daripada JPJ dan tiga lagi pegawai bank," katanya pada Isnin.

Pada 13 Oktober lalu, Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung transaksi kewangan berkenaan pada 7 Oktober lalu.

Polis telah menerima dokumen-dokumen berkaitan dan sedang diteliti.

Satu kertas siasatan kemudian dibuka mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui JPJ menggantung perkhidmatan melalui saluran MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa 5 Oktober lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

MYEG telah dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak tahun 2000.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!