Lelaki warga asing dikesan pandu bas persiaran tanpa lesen sah - JPJ

KUANTAN - Seorang pemandu warga asing dikesan memandu sebuah bas persiaran tanpa lesen sah dalam pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal Genting Highlands, Bentong pada Rabu.
Unit Korporat JPJ Pahang memaklumkan, pemeriksaan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mendapati, bas berkenaan membawa kira-kira 20 penumpang warga tempatan dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands.
Menurutnya, bas berkenaan ditahan untuk pemeriksaan selepas selesai menurunkan penumpang di terminal itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu merupakan warga asing dan tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) kelas E dan lesen vokasional (PSV) yang diperlukan untuk memandu bas persiaran.
"Ketika pemeriksaan, pemandu itu mendakwa kali pertama memandu bas tersebut dan hanya menggantikan pemandu sebenar yang tidak dapat bertugas pada hari berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu menjelaskan, bas terbabit disita untuk tindakan lanjut.
"Tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap pemilik bas kerana membenarkan individu tanpa lesen memandu mengendalikan kenderaan tersebut," ujarnya.
JPJ Negeri Pahang menegaskan aspek keselamatan penumpang tidak boleh dikompromi dan setiap pengusaha bas bertanggungjawab memastikan pemandu memiliki lesen memandu serta kelayakan yang sah sebelum dibenarkan beroperasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

