Bekas eksekutif TNB didakwa salah guna kedudukan berkaitan kontrak RM2.6 juta

SHAH ALAM – Bekas Eksekutif Teknik (Unit Mobility Solution) Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berkaitan kontrak bernilai lebih RM2.6 juta, lapan tahun lalu.
Berdasarkan kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Rizal Mohd Yusof, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang merupakan pegawai badan awam berkenaan dan bertugas sebagai ahli Jawatankuasa Penilaian Teknikal Tender didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi pihak syarikat Sunpower Resources (M) Sdn Bhd.
Perbuatan itu berkaitan kontrak ‘Kerja-Kerja Pengumpulan, Mengesahkan Serta Mengemas Kini Pengurusan Data Linear Aset bagi Zon Timur’ yang bernilai RM2,628,080.
Tertuduh didakwa mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Teknikal Tender berhubung kontrak berkenaan walaupun mempunyai kepentingan pada 1 Oktober 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ps Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Amin Abdullah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Disember depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

