Jam Rolex dibuang tepi tong sampah

PARIS - Pelbagai barangan jenama mewah termasuk Louis Vuitton yang dijarah ketika insiden rusuhan ganas di Perancis pada akhir minggu lalu muncul dalam platform dalam talian dan dijual pada harga yang jauh lebih rendah.
Video yang tular di media sosial memaparkan gelagat beberapa individu menayangkan barangan yang dipercayai hasil rompakan manakala beg berjenama, jam tangan dan barangan dari butik mewah dijual di tepi jalan.
Antara kejadian paling pelik ialah penemuan jam tangan Rolex berharga puluhan ribu ringgit yang dibuang di sebelah timbunan tong sampah.
Jam tangan mewah itu masih berada di dalam kotak yang dibalut dengan kertas kuning lut sinar manakala beg kertas Rolex turut kelihatan berhampirannya. Bagaimanapun, warganet meragui kesahihan video tersebut.
“Dia curi Rolex, kemudian berpura-pura menemuinya untuk menyembunyikan asal usul jam itu. Ini namanya ‘pengubahan Rolex’,” sindir seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi menulis: 'Rolex tidak pernah menyimpan stok jam tangan dalam kotak sebegitu, sama ada kedai tutup atau dibuka. Ini hanya umpan klik (clickbait). Jam tangan hanya diletakkan dalam kotak selepas dijual.'
Warganet lain pula memberikan reaksi lebih bersahaja: 'Apa kata kita pergi ke Perancis dan selongkar tong sampah?'
Sama ada penemuan itu benar-benar satu tuah atau sekadar gimik dalam talian. Apa yang pasti, video berkenaan membuatkan orang ramai melihat tong sampah dari sudut yang berbeza. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

