Bila nasi masuk tong sampah

Pembaziran makanan turut memberi kesan kepada keselamatan makanan negara ketika kos sara hidup dan harga barangan terus menjadi kebimbangan rakyat - Gambar hiasan
Pembaziran makanan turut memberi kesan kepada keselamatan makanan negara ketika kos sara hidup dan harga barangan terus menjadi kebimbangan rakyat - Gambar hiasan
A
A
A

STATISTIK pembaziran makanan isi rumah di negara ini menunjukkan masalah berkenaan bukan lagi isu kecil, sebaliknya telah menjadi cabaran nasional yang menuntut perubahan sikap masyarakat.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, nasi dikenal pasti sebagai makanan diproses atau dimasak yang paling banyak dibazirkan iaitu 16.7 peratus, diikuti sayur-sayuran (15.8 peratus) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8 peratus).

Hakikat bahawa nasi menjadi makanan paling banyak dibazirkan amat membimbangkan kerana ia merupakan makanan ruji yang menjadi sumber utama makanan rakyat Malaysia.

Pembaziran makanan turut memberi kesan kepada keselamatan makanan negara ketika kos sara hidup dan harga barangan terus menjadi kebimbangan rakyat.

Statistik menunjukkan pembaziran makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan berada dalam julat 31.9 kilogram hingga 97.3 kilogram bagi setiap kapita setahun, sekali gus menggambarkan skala isu ini di peringkat nasional.

Sikap membeli secara berlebihan, memasak dalam kuantiti yang banyak dan menyimpan makanan terlalu lama dikenal pasti antara punca utama pembaziran yang sebenarnya boleh dielakkan.

Keadaan itu menunjukkan masih ramai pengguna belum mengamalkan perancangan pembelian dan penyediaan makanan secara berhemah, sedangkan langkah itu mampu mengurangkan pembaziran serta menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Amalan membuang sisa makanan bersama sampah domestik oleh sebahagian besar isi rumah pula memberi tekanan kepada sistem pengurusan sisa serta meningkatkan jumlah buangan ke tapak pelupusan.

Kesedaran mengenai nilai makanan perlu dipupuk sejak kecil agar budaya menghargai rezeki menjadi amalan yang berterusan dalam institusi keluarga.

Artikel Berkaitan:

Jika budaya membazir gagal dibendung, bukan sahaja ekonomi isi rumah terjejas malah matlamat negara untuk mewujudkan sistem makanan yang mampan dan lestari akan menjadi semakin sukar dicapai.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!