'Kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus sebab saya bukan dari sekolah agama' - Johari

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan kontroversi ketika berbahas di Dewan Rakyat susulan pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang berikutan penggunaan istilah ‘munafik’.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, tidak semua wakil rakyat mempunyai pengetahuan mengenai istilah mengandungi maksud tinggi termasuk yang terdapat di dalam al-Quran atau hadis.
“Kalau kita hendak berhujah tentang perkataan yang kadang-kadang kita sendiri tidak suka ia dilontarkan kepada kepada kita. Bayangkan kalau saya, saya bukan sekolah agama, saya sekolah inggeris.
“Bagi saya kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus sebab saya bukan dari sekolah agama dan begitulah juga orang Islam dan bukan Islam apabila mendengar perkataan ini dia terkejut.
“Saya cadangkan di sini kita gunalah perkataan yang tidak kontroversi. Kita tahu kita hebat tapi kalau memberi ruang yang agak menakutkan kalau orang lain tidak faham ini membuka ruang perbahasan yang tidak akan habis smpai bila-bila,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Sebelum itu, sesi persidangan Dewan Rakyat, kecoh susulan stilah 'munafik', didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kekecohan kira-kira 10 minit itu bermula apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) memetik hadis mengenai tanda munafik, selain menjelaskan terdapat perkataan 'waad', istilah yang digunakan Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 pada 9 Oktober lalu.
Ketua Whip Perikatan Nasional itu kemudian menjelaskan leksikon 'waad' adalah istilah pinjaman daripada bahasa Arab, membawa pengertian janji.
Susulan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1), mendakwa istilah 'munafik' digunakan Takiyuddin sebagai tidak sopan.
Pemimpin DAP itu antara lain mendakwa penggunaan istilah 'munafik' tidak wajar dibiarkan di Dewan Rakyat, selain menyifatkan perkataan terbabit membawa maksud sangat buruk, terutama apabila ditujukan kepada Perdana Menteri.
“Menjadi kesalahan bagi Ahli Dewan Rakyat menggunakan bahasa kurang sopan. Saya dengar tadi ayat al-Quran (hadis riwayat Bukhari) disebut, diikuti perkataan munafik yang digunakan (Takiyuddin),” katanya.
Setiausaha Agung Pas itu kemudian menjelaskan 'waad' adalah istilah pinjaman daripada bahasa Arab yang bermaksud janji.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut, Rayer bangkit beberapa kali mencelah dengan meminta ruang untuk membangkitkan peraturan Dewan, namun tidak mendapat perhatian Takiyuddin.
Tindakan itu turut menarik perhatian Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dengan menegaskan Rayer keliru dengan perbahasan Takiyuddin, selain mendakwa salah memetik al-Quran dan potongan hadis dikemukakan.
Keadaan itu mencetuskan pertikaman lidah antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum kembali tenang selepas campur tangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

