Penunggang motosikal maut dirempuh dari belakang

GERIK – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain dari arah belakang dalam kemalangan di Kilometer 49, Jalan Gerik–Kuala Kangsar berhampiran Kampung Gelok, Lenggong pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan dua motosikal yang dipercayai bergerak dari arah Gerik menghala ke Kuala Kangsar.
Menurutnya, sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang lelaki berusia 36 tahun berada di belakang motosikal mangsa sebelum dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk mendapatkan rawatan awal.
“Penunggang motosikal SYM kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, penunggang Yamaha 135LC pula mengalami kecederaan pada bahagian muka dan masih menerima rawatan.
Abdul Samad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan lampu kenderaan berfungsi dengan sempurna, khususnya ketika berada di jalan raya pada waktu malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

