Imigresen cadang wujud SOP baharu kemasukan warga asing

Khairul Dzaimee pada sidang media berkaitan isu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pejabatnya hari ini. - Foto Bernama
Khairul Dzaimee pada sidang media berkaitan isu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pejabatnya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen bercadang untuk mewujudkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi kemasukan warga asing selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, SOP berkenaan akan dibawa kepada perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diguna pakai.

Beliau berkata, SOP berkenaan masih dalam kajian pihaknya yang berdasarkan pengalaman ketika wabak itu melanda dunia sejak Disember tahun lepas.

"Kami ambil contoh Taiwan yang ketika ini, negara berkenaan hanya mencatatkan lebih 400 kes sahaja dan jumlah kematian yang sedikit.

"Apa yang mereka (Taiwan) lakukan ialah mereka segera menutup pintu masuk mereka kepada warga asing dan melakukan penjarakan sosial sebaik sahaja kes Covid-19 berlaku pada Disember tahun lalu," katanya kepada Bernama dalam sidang media khas di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, syarat bagi warga asing yang ingin masuk ke Malaysia akan diperketatkan di semua pintu masuk negara meskipun selepas PKP tamat antaranya tidak mempunyai sebarang simptom wabak Covid-19.

"Ketika ini (semasa PKP), semua warga asing telah disekat kemasukan kecuali duta-duta, perwakilan asing dan penduduk tetap yang dibenarkan masuk," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai talian hotline imigresen pada ketika pejabat dan kaunter urusan imigresen ditutup, beliau berkata, orang ramai masih boleh menghubungi imigresen bagi mendapatkan maklumat dan pertanyaan berkaitan isu imigresen.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai boleh menghubungi imigresen di talian hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN)-MyGCC 03-88882010 dan 03-80008000,” katanya.

Katanya, pusat panggilan berkenaan diselaras oleh MKN dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Pegawai-pegawai imigresen bertugas 24 jam mengikut tiga syif di pusat panggilan ini bagi menjawab pertanyaan berkaitan imigresen sepanjang PKP,” katanya. - Bernama