Keputusan inkues kematian Zara Qairina diketahui 15 Januari tahun depan

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas beliau ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas beliau ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Keputusan inkues kematian Zara Qairina Mahathir untuk menentukan punca kematian remaja itu dijangka diumumkan pada 15 Januari tahun depan.

Koroner Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh berkenaan selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat dalam prosiding inkues tersebut.

Beliau turut menetapkan supaya semua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum atau pada 15 Disember.

"Penghujahan bertulis hendaklah difailkan pada atau sebelum 15 Disember 2026. Manakala keputusan inkues ini ditetapkan untuk disampaikan pada 15 Januari 2027, jam 9 pagi," katanya di Mahkamah Koroner pada Jumaat.

Prosiding inkues berakhir pada Rabu lalu, selepas berlangsung selama 96 hari.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas beliau ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran sebuah longkang di asrama sekolahnya pada awal pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa satu inkues akan dijalankan berhubung kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos 2025 memaklumkan bahawa jenazah Zara Qairina akan digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan.

Proses penggalian semula jenazah pelajar itu di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang selesai pada 7.15 malam 9 Ogos 2025.

Artikel Berkaitan:

Inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu bermula pada 13 September tahun lepas.

Dalam pada itu, Amir Shah menjelaskan inkues berkenaan merupakan prosiding bagi menyiasat sesuatu kematian, justeru memerlukan penelitian menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan.

"Proses siasatan sememangnya agak panjang. Kita tidak boleh hanya mendengar keterangan seorang individu, kemudian terus membuat kesimpulan.

"Sebab itulah kita perlu mendengar keterangan semua pihak, khususnya saksi-saksi yang terlibat. Apa yang menjadikan inkues ini agak luar biasa ialah ia melibatkan jumlah saksi kanak-kanak yang agak ramai," katanya.

Beliau berkata, prosiding itu turut melibatkan aspek emosi yang menyumbang kepada perjalanan inkues berkenaan.

"Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana kita akhirnya telah sampai ke penghujung prosiding ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat menyediakan hujahan bertulis yang menyeluruh bagi membantu mahkamah menghasilkan keputusan yang baik serta menjawab persoalan yang timbul sepanjang prosiding.

“Itulah tujuan sebenarnya. Kita tidak mahu membiarkan sebarang persoalan tidak terjawab. Saya berharap kita dapat menjawab segala persoalan yang timbul,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!