Tiada bukti Zara Qairina ditolak atau dibunuh - Pegawai penyiasat

Ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-83 dalam inkues kematian Zara Qairina, Wong Yew Zhung mengesahkan bahawa pihaknya telah merakam percakapan 200 saksi.
Ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-83 dalam inkues kematian Zara Qairina, Wong Yew Zhung mengesahkan bahawa pihaknya telah merakam percakapan 200 saksi.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Tiada sebarang bukti yang menunjukkan kematian Zara Qairina Mahathir berpunca daripada perbuatan jenayah oleh mana-mana individu, selain kemungkinan remaja berusia 13 tahun itu menamatkan riwayatnya sendiri, Mahkamah Koroner diberitahu pada Rabu.

Pegawai penyiasat kes, Inspektor Wong Yew Zhung berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keseluruhan siasatan yang dijalankan terhadap kes yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Yew Zhung yang merupakan saksi ke-83 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah di Mahkamah Koroner di sini.

Yew Zhung juga mengesahkan bahawa pihaknya telah merakam percakapan 200 saksi yang terdiri daripada pelajar, guru, warden, pegawai keselamatan dan pegawai perubatan.

Menurutnya, tiada seorang pun saksi menyatakan mereka melihat Zara ditolak dari tingkat tiga bangunan asrama atau dipukul sebelum terjatuh.

Beliau turut memaklumkan siasatan tidak menemukan sebarang bukti bahawa remaja itu pernah didera atau dicederakan, termasuk menerusi analisis telefon bimbit yang dirampas sepanjang siasatan.

"Tiada," jawabnya ketika ditanya sama ada siasatan menemukan bukti Zara dipukul, didera atau menjadi mangsa perbuatan jenayah.

Yew Zhung berkata, hasil siasatan juga tidak menemukan bukti wujud perancangan untuk membunuh Zara atau sebarang kecederaan yang berpunca daripada perbuatan pihak lain.

Beliau turut mengesahkan maklumat yang diperoleh daripada pegawai perubatan serta laporan bedah siasat oleh pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, menunjukkan kecederaan dialami Zara konsisten dengan kejadian jatuh dari tempat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau bersetuju dengan dapatan pakar bahawa kaki Zara menerima impak pertama ketika jatuh sebelum kecederaan lain berlaku pada bahagian badan dan kepala akibat impak susulan.

Dalam prosiding sama, Yew Zhung turut menafikan dakwaan bahawa terdapat individu berstatus VIP, VVIP atau ahli politik yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan lima remaja yang dikaitkan dalam kes berkenaan.

Beliau juga menegaskan siasatan tidak menemukan sebarang bukti bahawa mana-mana VIP, VVIP atau ahli politik memberikan perlindungan atau menggunakan pengaruh bagi membantu remaja terbabit mengelak tindakan undang-undang.

Menjawab pertanyaan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Yew Zhung berkata, beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada mana-mana pihak sepanjang siasatan dijalankan, selain tekanan biasa dalam mengendalikan kes berprofil tinggi tersebut.

"Saya hanya mengalami tekanan ketika mengendalikan kes ini dan cuba sedaya upaya untuk kekal profesional," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!