Setiausaha Akhbar Rumah Putih panggil Trump 'suami', tersasul berulang kali

WASHINGTON - Setiausaha Akhbar baharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Katie Zacharia berdepan detik janggal dalam penampilan sulungnya apabila tersasul beberapa kali sebelum menamatkan taklimat media yang hanya berlangsung selama 14 minit pada Selasa.
Sebaik sahaja berada di podium, wanita berusia 41 tahun itu beberapa kali tersasul ketika memulakan taklimat media dipercayai akibat rasa gugup.
Pada awal taklimat, Zacharia mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan berkenaan untuk menggantikan Karoline Leavitt.
“Saya amat berbesar hati memegang peranan ini kerana saya sudah lama menyimpan hasrat mahu bekerja untuk beliau.
"Saya dapat meneruskan usaha yang dilakukan sebelum ini untuk memperluas dan memperkukuh penyampaian agenda Presiden kepada rakyat Amerika.,” katanya.
Zacharia berkata, tugasnya sebagai Setiausaha Akhbar tidak banyak berbeza daripada peranannya sebelum ini dalam menyokong Trump ketika berada di luar Rumah Putih.
Bagaimanapun, di tengah-tengah taklimat itu, beliau tersilap menyebut Trump sebagai suaminya.
“Presiden saya... maaf, suami saya,” ujarnya hingga meraih perhatian petugas media yang hadir pada sesi berkenaan.
Zacharia menerima soalan pertamanya daripada Breitbart News, sebuah organisasi media berhaluan kanan yang semakin berpengaruh ketika penggal kedua pentadbiran Trump.
Beliau berjanji untuk mengekalkan sistem giliran media baharu yang diperkenalkan oleh pendahulunya bagi memberi peluang kepada lebih banyak organisasi media menyertai sidang akhbar dan kumpulan wartawan Rumah Putih.
Zacharia juga hanya menjawab soalan daripada tiga organisasi media sebelum memberitahu wartawan bahawa mereka boleh mengemukakan soalan secara langsung kepada Trump di kawasan South Lawn, Rumah Putih.
“Saya akan menamatkan sidang media ini kerana Presiden sedang menuju ke Marine One untuk lawatan bersejarah ke Alaska. Anda boleh mengajukan segala soalan kepadanya di sana,” katanya.
Sementara itu, Trump memuji prestasi Zacharia ketika bercakap kepada wartawan.
“Saya fikir beliau melakukannya dengan cemerlang dan sangat baik,” ujarnya yang menyifatkan Zacharia sebagai penyokong yang setia dan bijak sejak awal.
Difahamkan, Zacharia pernah berkhidmat secara ringkas sebagai jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS pada awal tahun ini sebelum menjadi pengulas bagi saluran Fox News dan Newsmax. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

