Houthi terus gempur Saudi, pertahanan Riyadh kian teruji

SANAA - Perang saudara di Yemen kembali memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan pertempuran sengit antara gerakan Houthi dengan pasukan prokerajaan yang disokong Arab Saudi.
Pada bulan lalu, Houthi menawan kawasan pesisir Laut Merah dan beberapa pulau strategik berhampiran Selat Bab al-Mandab. Kemaraan mereka turut menyebabkan lonjakan harga minyak susulan perang berlarutan selama enam bulan antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Pada awal Oktober, pasukan prokerajaan mendakwa mereka berjaya merampas semula kawasan yang menghadap Selat Bab al-Mandab selepas melancarkan serangan besar-besaran dengan sokongan serangan udara gabungan tentera diketuai Riyadh.
Houthi bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera, kemudahan tenaga dan lapangan terbang di Saudi.
Houthi pada mulanya tidak terlibat secara langsung dalam konflik yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran awal tahun ini. Namun, kumpulan itu semakin agresif susulan penutupan Selat Hormuz dan campur tangan asing di Sanaa.
Houthi terus membedil sasaran berprofil tinggi termasuk infrastruktur minyak dan lapangan terbang ibu kota yang bukan sahaja menjejaskan aset penting malah memperlihatkan dengan jelas risiko yang terpaksa ditanggung Riyadh susulan pilihan strategiknya kerana menyokong pasukan prokerajaan.
Serangan itu turut menguntungkan Iran yang memihak kepada Houthi sebagai sebahagian daripada proksi mereka di bawah gerakan paksi penentangan anti-Israel.
Penguasaan Houthi di Laut Merah dan siri serangan terhadap Saudi memperlihatkan pengaruh strategik Teheran dan sekutunya dalam menggugat bekalan minyak dan gas global, sekali gus mencabar tekanan yang dikenakan oleh Washington susulan perkembangan terbaharu konflik tersebut.

'Prinsip timbal balik'
Rentetan serangan Houthi secara jelas mencabar keupayaan pertahanan Riyadh ia telah membelanjakan dana yang besar untuk memperkukuh aset ketenteraannya. Usaha mengekang 'asakan' kumpulan itu terus menjadi cabaran besar buat kerajaan tersebut.
“Pertahanan udara Saudi berjaya memintas sebahagian serangan peluru berpandu dan dron Houthi. Bagaimanapun, keluasan geografi negara itu menyukarkan Riyadh membentuk benteng pertahanan, sekali gus membuka ruang kepada ancaman yang sukar dibendung di setiap penjuru wilayahnya," kata penganalisis keselamatan dari Universiti Ottawa, Thomas Juneau.
Usaha membalas serangan Houthi dan melumpuhkan keupayaan ketenteraan kumpulan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kempen pengeboman yang dilancarkan AS pada 2025 memperlihatkan cabaran besar dalam mengekang keupayaan mereka yang semakin berkembang hasil pengukuhan kekuatan ketenteraan sejak beberapa tahun lalu. Houthi menegaskan tindakan mereka 'berpandukan prinsip timbal balik'.
“Sesuatu yang lebih buruk akan berlaku selagi musuh tidak menghentikan pencerobohan dan campur tangan mereka di Yemen,” menurut kenyataan rasmi Houthi.
Riyadh dijangka meneruskan tindakan balasnya, namun pada masa sama bergelut untuk memintas setiap peluru berpandu yang dilancarkan Houthi. Walaupun keupayaan risikan dan sistem amaran awal boleh dipertingkatkan, langkah itu mungkin hanya mampu memberikan perlindungan awal kepada sasaran strategik tertentu, bukannya menjamin keselamatan seluruh wilayahnya.
Kekuatan Houthi bukan hanya bergantung pada keupayaan ketenteraannya, tetapi turut didorong oleh kepimpinan dan pegangan ideologi yang sukar digugat. Keadaan ini menjadikan kumpulan itu bukan sahaja sukar dilemahkan malah terus menjadi antara pihak utama yang mempengaruhi hala tuju konflik di Yemen terutamanya ketika usaha mencapai penyelesaian damai masih menemui jalan buntu. - Agensi
Info
Houthi merupakan gerakan politik dan ketenteraan yang muncul di utara Yemen pada 1990-an, berakar daripada puak syiah Zaidiyah yang berusaha mempertahankan identiti serta budaya mereka. Di bawah kepimpinan Abdul-Malik al-Houthi, kumpulan itu menguasai ibu kota Sanaa sejak 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

