'Minta maaf tak pernah jadikan kita hina' - Rahim Sepahtu

RAHIM Sepahtu menasihati agar jangan biarkan ego menghalang untuk memperbaiki hubungan.
Rahim menegaskan meminta maaf bukan menjatuhkan maruah, sebaliknya tanda keberanian dan penyesalan ikhlas terhadap kesilapan yang dilakukan.
Shuib telah memohon maaf secara terbuka kepada Jep, namun Jep mengambil tindakan undang-undang kerana isu fitnah yang timbul.
Menerusi komen yang ditinggalkan di video Shuib, Rahim berkata jangan biarkan ego menjadi penghalang untuk memperbaiki hubungan terutama selepas menyedari kesilapan yang dilakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ini bukan pasal sindir tapi fitnah’ – Jep Sepahtu ambil tindakan undang-undang terhadap Shuib
Shuib mohon maaf kepada Jep Sepahtu, akui khilaf sendiri
Menurut Rahim, permohonan maaf mungkin tidak mampu mengubah apa yang telah berlaku, namun ia boleh menjadi tanda penyesalan yang ikhlas terhadap individu yang pernah disakiti.
“Jika kita sedar kita akan kehilangan seseorang kerana kesilapan kita sendiri… jangan biarkan ego menjadi perkara terakhir yang memisahkan kita.
“Kerana ada ‘maaf’ yang mungkin tidak mampu mengembalikan masa, tetapi mampu membuat hati seseorang tahu bahawa kita benar-benar menyesal,” katanya.
Dalam pada itu, Rahim menegaskan meminta maaf bukanlah sesuatu yang menjatuhkan maruah seseorang, sebaliknya mencerminkan keberanian untuk mengakui kesilapan dan menghargai hubungan yang pernah terjejas.
“Meminta maaf tidak pernah menjadikan kita hina. Kadang-kadang, sebuah ‘maaf’ adalah tanda hati kita masih punya rasa, jiwa kita masih punya kesedaran, dan kita masih menghargai seseorang yang pernah kita sakiti.
“Kerana manusia yang paling mulia bukan manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan tetapi manusia yang apabila tersedar telah tersilap, dia berani mengaku, berani meminta maaf dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Shuib tampil beri penjelasan dan mohon maaf secara terbuka kepada Jep Sepahtu selepas hampir seminggu berdiam diri berhubung kemelut antara mereka.
Shuib akui tempias isu itu bukan sahaja menjejaskan dirinya, malah turut melibatkan keluarga dan perniagaannya, serta telah menghubungi Jep untuk memohon maaf atas kekhilafan dalam podcast sebelum ini.
Bagaimanapun Jep kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan dia sudah mengambil tindakan undang-undang memandangkan ia melibatkan fitnah terhadap dirinya. - Awani/Gempak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
