Shuib mohon maaf kepada Jep Sepahtu, akui khilaf sendiri

Shuib tampil mohon maaf kepada Jep menerusi satu perkongsian di media sosial pada Khamis.
Shuib tampil mohon maaf kepada Jep menerusi satu perkongsian di media sosial pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu, memohon maaf secara terbuka kepada Jep Sepahtu, susulan kontroversi yang tercetus selepas kemunculannya dalam satu audio siar di Tiktok.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, berkata, beliau sudah menghubungi Jep kurang daripada 24 jam selepas podcast berkenaan diterbitkan untuk memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya.

Sejak kenyataan Jep pada 8 Oktober lalu, Shuib akui amat sukar buat dirinya apabila berdepan kecaman orang ramai yang turut melibatkan keluarga dan perniagaan.

“Dari hari pertama sejak kenyataan Jep dikeluarkan, saya diperli, dimaki, dihina dan dikecam.

"Ianya bukan sahaja berlaku kepada saya, tetapi melibatkan isteri saya Watie, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Jep meluahkan rasa kecewa menerusi satu hantaran di Facebook pada 8 Oktober lalu apabila mendakwa isu persahabatannya dengan Shuib terus dibangkitkan secara terbuka untuk tujuan pemasaran dan publisiti.

Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata, beliau sudah memohon maaf kepada Shuib walaupun mendakwa pelbagai perkara dilakukan terhadapnya sebelum ini.

Mengenang persahabatan mereka yang terjalin hampir 20 tahun, Shuib berkata, segala kenangan, kesusahan serta kejayaan yang dilalui bersama Jep akan terus disimpan sebagai antara kenangan terindah dalam hidupnya.

“Jep, kalau kau tengok video ini, aku mohon maaf. Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku dan aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama ini.

Artikel Berkaitan:

“Selama kita bekerjasama, susah senangnya kita pernah lalui, kejayaan yang pernah kita capai dan ia akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.

“Aku minta maaf di atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib merayu agar orang ramai tidak memboikot perniagaannya susulan kontroversi berkenaan kerana ia merupakan sumber rezeki untuk menyara keluarga serta melunaskan tanggungan syarikat.

Mengulas lanjut, Shuib memaklumkan, perniagaan BubbleBee sedang membuat bayaran ansuran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 10 bulan bermula Januari 2026, dengan baki bayaran kira-kira 14 bulan lagi.

“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat. Mereka tidak bersalah, saya yang salah dalam perkara ini.

“Dan janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot, sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!