Majikan paksa alasan warga asing tiada lesen pandu lori tanah lebih muatan

Anggota JPJ melaksanakan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang didapati membawa muatan melebihi had pada Rabu. Foto: JPJ Selangor
Anggota JPJ melaksanakan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang didapati membawa muatan melebihi had pada Rabu. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan sahaja tiada lesen memandu, seorang pemandu lori warga Indonesia turut memberi alasan membawa muatan melebihi had kerana ditekan majikan dan mahu mengejar trip pada Rabu.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di Persiaran Mokhtar Dahari di sini.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemeriksaan mendapati lori tipper dipandu lelaki itu membawa muatan tanah merah melebihi 80 peratus had muatan sepatutnya.

"Siasatan awal mendapati lori tersebut dalam perjalanan ke Kapar, Klang.

"Pemandu tersebut mendakwa tindakannya membawa muatan berlebihan dibuat atas sebab arahan dan tekanan majikan demi mengaut keuntungan tinggi.

"Selain itu, pemandu itu mengejar trip dengan memaksimumkan jumlah perjalanan serta menjimatkan kos operasi syarikat memandangkan muatan berlebihan dalam satu perjalanan membolehkan hasil keuntungan diperoleh menyamai dua kali perjalanan biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, pemandu tersebut juga mendakwa upah dibayar mengikut jumlah perjalanan yang diselesaikan, bukannya gaji tetap.

Beliau berkata, semakan mendapati pemandu terbabit tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta Lesen Vokasional (GDL).

Tegasnya, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan lori terbabit telah disita.

Artikel Berkaitan:

"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!