[VIDEO] Padah tumbuk pengawal keselamatan asing, pemandu lori didenda RM2,000

A
A
A

MELAKA – Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan warga asing, minggu lalu.

Tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pengawal keselamatan warga asing yang sedang bertugas di sebuah pusat perniagaan di Bukit Beruang minggu lalu.
Tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pengawal keselamatan warga asing yang sedang bertugas di sebuah pusat perniagaan di Bukit Beruang minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Rafiuddin Aiman Ramli, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, menggunakan tangan pada bahagian muka dan tubuh badan.

Perbuatan itu dilakukan di swbuah pusat perniagaan di Bukit Beruang, dalam daerah Melaka Tengah sekitar jam 1.50 petang pada 8 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di lokasi berkenaan sebelum didatangi tertuduh yang memandu sebuah lori.

Tertuduh meminta mangsa mengosongkan kawasan parkir dan memaksa pengadu menandatangani surat pengesahan penukaran tong sampah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mangsa enggan menurunkan tandatangan pada surat berkenaan sehingga mencetuskan perselisihan faham antara mereka.

Tertuduh kemudian menumbuk mangsa pada bahagian muka, badan dan leher.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Mawardi Zainudin mewakili tertuduh dalam rayuan memohon hukuman ringan dengan alasan pengakuan bersalah anak guamnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Beliau berkata, anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,500 sebulan, selain mempunyai isteri yang sedang hamil dua bulan dan menanggung adik berusia 16 tahun serta ibu bapa tidak bekerja.

Katanya, anak guamnya menyesali perbuatan itu apabila gagal mengawal kemarahan ketika kejadian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Yusri, memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira fakta kes dan kecederaan yang dialami mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap tertuduh, atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!