Menteri Pertanian Jepun, Yana letak jawatan angkara kontroversi

Kazuo Yana. - Agensi
Kazuo Yana. - Agensi
A
A
A

TOKYO - Menteri Pertanian Jepun yang berdepan tekanan, Kazuo Yana, berkata pada Rabu  beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan susulan kontroversi berkaitan tingkah laku lampau beliau di kawasan pilihan rayanya, sekali gus menjadi tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi, lapor Kyodo News.

Yana berkata beliau mengemukakan peletakan jawatannya kepada Takaichi, sekali gus menjadi anggota Kabinet pertama yang berundur sejak Perdana Menteri itu menyusun semula Kabinetnya pada pertengahan September.

"Saya tidak boleh lagi membiarkan perbahasan parlimen dan pentadbiran pertanian terganggu,” kata Yana kepada pemberita di Pejabat Perdana Menteri di Tokyo selepas mengadakan pertemuan dengan Takaichi.

Yana, yang merupakan anggota Dewan Perwakilan selama enam penggal daripada Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Takaichi, dikenali sebagai orang kanan beliau dalam dasar pertanian.

Peletakan jawatan itu merupakan satu tamparan hebat bagi Perdana Menteri berkenaan, yang bakal genap setahun memegang jawatan pada penghujung bulan ini. Tidak lama sebelum pengumuman itu, anggota parlimen pembangkang mengancam untuk mengemukakan usul mencela terhadap Yana di Dewan Senat, Dewan Atas Parlimen Jepun.

Yana berdepan kritikan susulan laporan media sejak akhir September bahawa beliau memberitahu penyokongnya di kawasan pilihan raya pada Mei bahawa peruntukan belanjawan jalan raya dipotong secara drastik bagi dua kawasan perbandaran yang datuk bandarnya menyokong pencabarnya dalam pilihan raya umum pada Februari.

Beliau juga dilaporkan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma kepada penyokongnya di kawasan pilihan raya di Wilayah Tochigi, di utara Tokyo, semasa kempen pilihan raya Dewan Perwakilan terdahulu, yang berkemungkinan melanggar Akta Pilihan Raya bagi Jawatan Awam.

Yana secara umumnya mengakui laporan berkenaan tetapi menafikan sebarang pelanggaran undang-undang dalam kedua-dua kes itu. Beliau berkata tidak pernah mendesak Kementerian Tanah untuk memotong peruntukan itu manakala penyediaan perkhidmatan bas itu tidak boleh dianggap sebagai pemberian manfaat atau sumbangan.

Takaichi pula sebelum ini berkata beliau "tidak akan teragak-agak” untuk memecat Yana "sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang” berhubung dakwaan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!